Skip to main content

Pasaran saham ditutup tinggi, meningkat 39.55 mata

Pasaran saham

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Prestasi pasaran saham negara yang ditutup petang ini terus meningkat tinggi melepasi paras 1,600 mata.

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menunjukkan peningkatan sebanyak 39.55 mata kepada paras 1,602.26 mata.

 

Paras tersebut meneruskan prestasi yang baik sejak dibuka pada paras 1,587.68 awal pagi tadi.

 

Paras KLCI yang ditutup hari ini juga lebih tinggi berbanding semalam iaitu 1,562.71.

 

Menurut Bloomberg, pasaran saham eropah mula bangkit hari ini daripada paras penurunan terbesar selama sebulan.

 

Saham Indeks Stoxx Europe 600 dibuka tinggi yang didahului oleh saham berkaitan syarikat automasi dan pelombong.

 

Sementara itu, prestasi ekuiti Asia mula menunjukkan peningkatan berikutan aktiviti dan data kilang yang semakin positif di rantau berkenaan.

 

Jelasnya, saham di seluruh Asia Pasifik mencatatkan peningkatan setelah aktiviti kilang di beberapa wilayah ekonomi eksport terbesar mula pulih pada November.

 

Peningkatan itu juga dibuktikan melalui Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan di China yang mencecah sehingga paras ketinggian satu dekad.

 

Bulan Disember memulakan kenaikan harga saham yang diikuti rekod bulanan bagi saham global memandangkan penemuan vaksin COVID-19 sekali gus mendorong keyakinan untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang. - DagangNews.com