Pasaran saham Malaysia ‘Permai’ pagi ini | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham Malaysia ‘Permai’ pagi ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Susulan pakej bantuan baharu diumumkan pada petang semalam oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pasaran saham tempatan dibuka lebih tinggi pada awal pagi ini. 

 

Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) telah menyuntik indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI untuk menokok 1.54 mata ketika dibuka, kepada 1,611.06 daripada paras yang ditutup semalam, 1,609.52.

 

Setelah tujuh minit didagangkan, FBM KLCI terus melonjak mencecah 1,615.18, menjadikan jumlah peningkatan lebih lima mata. 

 

Kaunter untung termasuklah Milux Corp Bhd, PMB Technology Bhd, Kobay Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd, Far East Corp Bhd, Tasco Bhd, ViTrox Corp Bhd dan Mesiniaga Bhd.

 

Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan melonjak semula selepas menunjukkan penurunan didorong harapan pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menjelang perjumpaan esok. 

 

“Kami menjangkakan OPR tidak berubah memandangkan tiada impak ketika ini. 

 

“Sementara itu, kami melihat bantuan tambahan Muhyiddin untuk kebajikan rakyat adalah positif terutamanya melibatkan segmen pelancongan dan RM100 juta untuk hospital swasta bagi rawatan COVID-19, tetapi diskaun bagi beberapa sektor perniagaan mungkin memberi kesan margin negatif kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

“Bagaimanapun, kami meramalkan indeks itu mungkin menguji semula paras 1,620 hari ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memperuntukkan tambahan RM15 bilion di bawah pakej bantuan baharu, Permai. 

 

Baca : PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion 

 

Bantuan yang diberikan itu turut merangkumi kesinambungan kepada inisiatif-inisiatif sedia ada yang menyasarkan tiga matlamat utama. 

 

Di peringkat global, Wall Street ditutup semalam, tetapi lantikan Joe Biden secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) mungkin menyuntik minat membeli untuk masa akan datang. 

 

Jelas Rakuten Trade, trend niaga hadapan DJ Industrial Average berada pada paras positif.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan berprestasi lebih baik hari ini selepas beberapa hari didagangkan ‘suram’,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com