Pasaran tempatan, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan, ringgit mengukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pasaran tempatan naik 10.07 mata kepada 1,593.75 mata ketika ditutup petang ini setelah memulakan dagangan pagi yang rendah pada 1,579.49 mata.

 

Indeks FBM KLCI itu menyaksikan 9.01 bilion saham diniagakan bernilai RM5.16 bilion. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 690 berbanding 504 dengan 446 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0900/0950 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada RM4.0950/1000 pada penutupan semalam.

 

Pagi tadi ringgit memulakan dagangan pada RM4.0900/0950 berbanding dolar AS. 

 


Menurut Reuters, pasaran kewangan dunia dilanda gelombang ketidaktentuan pada Jumaat selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin meminta supaya bantuan kepada perniagaan yang bergelut akibat pandemik COVID-19 dihentikan. 

 

Situasi ini secara tidak langsung mencetuskan pertelingkahan yang jarang berlaku antara bank pusat dan perbendaharaan. 

 

Ini menyebabkan S&P500 susut 0.7% manakala niaga hadapan Dow jatuh 0.8%, membatalkan petunjuk yang lebih kukuh dari sesi semalaman Wall Street.

 

Sementara itu, Hong Leong IB Research berkata, pasaran tempatan sudah bersedia untuk penggabungan pengambilan untung selepas bergerak dari tahap serendah 1,452 kepada 1,613 mata berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang rapuh. 

 

"Peningkatan jangkitan COVID-19 dan pelaksanaan semula sekatan, jangkaan prestasi ekonomi yang lemah pada suku keempat, hasil korporat selepas PKPB dan kelulusan Belanjawan 2021 akan terus mempengaruhi pasaran," katanya. 

 

Menurut Rakuten Trade, sentimen pasaran serantau dijangka lebih berhati-hati selepas niaga hadapan AS melemah ekoran pertembungan antara bank pusat dan perbendaharaan mengenai pakej rangsangan ekonomi.  

 

"Dalam pasaran tempatan pula, berlaku pemburuan tawar-menawar dan penggiliran ekoran laporan mengenai vaksin dan jangkitan COVID-19 yang terus meningkat," katanya. - DagangNews.com