Skip to main content

Pasaran tempatan, ringgit menyusut

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Pasaran saham tempatan jatuh di bawah paras 1,600 mata apabila susut 3.54 mata kepada 1,598.72 mata. 

 

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu berlegar dalam jajaran antara 1,592.93 hingga 1,605.60 mata hari ini dengan 9.22 bilion saham diniagakan bernilai RM5.43 bilion. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 640 berbanding 557 manakala 503 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0750/0800 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.0760/0800. 

 

Menurut Reuters, pasaran saham Asia menurun daripada keuntungan awal Wall Street apabila sebahagian pelabur mencatatkan keuntungan daripada rekod tinggi tetapi dalam masa sama menaruh harapan terhadap rangsangan fiskal AS dan vaksin COVID-19 terus memberi sokongan kepada sentimen pasaran. 

 

Britain hari ini menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan kegunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan ia dijangka dilancarkan seawal minggu depan. 

 

Sementara itu, HLIB Research dalam nota kajian menjangkakan FBM KLCI akan kembali mencatat trajektori antara 1,618 hingga 1,636 mata didorong beberapa faktor, antaranya pengukuhan Dow Jones dalam penutupan semalaman dan perkembangan vaksin. 

 

"Bagaimanapun ketidaktentuan pasaran masih ada (dengan paras sokongan pada 1,594-1,579-1,555 mata) ekoran kebimbangan mengenai kesan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ke atas ekonomi di sebalik peningkatan jangkitan COVID-19 dan kluster baharu," katanya. - DagangNews.com