Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan ditubuhkan | DagangNews Skip to main content

Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan ditubuhkan

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR 13 Mei - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), hari ini.

 

Jelasnya, keanggotaan badan bebas itu akan dinilai dan ditentukan beliau selaku Menteri Kesihatan.

 

Khairy berkata, Pasukan Petugas Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir.

 

Ia juga akan dianggotai kumpulan pakar yang terdiri daripada lapan individu yang profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.

 

Mereka ialah Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara, Datuk Hamidah Naziadin; Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan IMU, Prof Dr Zabidi A. M. Hussin; Peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla; Pakar Perunding Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-Lin, Aktivis dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Manvir Victor; Pakar penilaian, membangun dan melatih CEO, eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, Sivaramakrishnan Balasubramanian dan wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

Pasukan petugas khas bebas itu antara lain berperanan membuat analisa dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), secara khusus.

 

"Ia juga menganalisa maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang serta memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja, proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus," katanya dalam satu kenyataan.

 

Malah, Pasukan Petugas Khas itu akan mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyokong fungsi dan peranan HWCITF jika perlu serta menjalankan kaji selidik dan analisa yang berkaitan.

 

Selain itu, ia akan turut menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus untuk dibentangkan kepada Menteri Kesihatan dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhan, Astro Awani melaporkan.

 

"Saya ingin tekankan bahawa KKM amat komited dalam usahanya untuk memperbaiki suasana kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan secara amnya dan menghapuskan budaya kerja toksik di fasilitifasiliti kesihatan KKM," ujarnya. - DagangNews.com