PATAMI FY2021 Kerjaya Prospek meningkat 6.8% kepada RM97 juta | DagangNews Skip to main content

PATAMI FY2021 Kerjaya Prospek meningkat 6.8% kepada RM97 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Kerjaya Prospek Group Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 6.8% kepada RM97 juta bagi FY2021 yang berakhir pada 31 Disember 2021.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 19% kepada 964.9 juta berbanding RM811 juta pada FY2020 dan peningkatan itu disumbangkan daripada kemajuan projek yang pantas berbanding tahun sebelumnya kesan daripada peningkatan aktiviti di lapangan ketika berlakunya sekatan pergerakan pada FY2021.

 

Bahagian pembinaan kumpulan menyumbang 100% jumlah pendapatan selepas ketiadaan projek pembangunan hartanah.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, untuk Q4FY2021 yang berakhir 31 Disember 2021, pendapatan mereka meningkat 14% kepada RM283.7 juta daripada RM248.9 juta bagi suku sama tahun lalu membuatkan PATAMI bagi suku itu meningkat sebanyak 8.6% kepada RM30.4 juta berbanding RM28 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kunci kira-kira bagi kumpulan itu kekal stabil dengan tunai bersih sebanyak RM176.3 juta dengan nisbah semasa 4.2 pada 31 Disember 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif kumpulan, Tee Eng Tiong berkata, walaupun berlakunya pelbagai halangan pada tahun lalu seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), gangguan rantaian bekalan dan kekurangan tenaga kerja namun mereka berjaya mencatatkan keputusan yang baik untuk FY2021.

 

Katanya, kumpulan itu tetap optimis meskipun berdepan dengan suasana tidak menentu kerana disokong oleh senarai tempahan yang luar biasa.

 

"Buat masa ini, kami berjaya mendapatkan kontrak terbesar bernilai RM710.1 juta menjadikan nilai tempahan kami sebanyak RM4.1 bilion dan ia memberikan nafas lega dari segi pendapatan untuk tempoh 5 tahun.

 

"Projek pembangunan berkonsepkan transit pertama di Malaysia itu menggambarkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan kami untuk menyiapkan pembangunan berkualiti tinggi," katanya.

 

Dalam pada itu, Eng Tiong berkata, kumpulan itu akan melancarkan dua projek pembangunan hartanah baharu menjelang separuh pertama 2022 iaitu Dutamas Development (Yakin Land) and Monterez Development dengan nilai pembangunan kasar masing-masing sebanyak RM380 juta dan RM250 juta.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mengumumkan pemberian dividen interim kedua sebanyak 2.0 sen sesaham menjadikan dividen kseluruhan bagi FY2021 sebanyak 3.5 sen bagi FY2021 yang akan dibayar pada 8 April 2022. - DagangNews.com