Skip to main content

PCG peruntuk RM6 bilion bagi derivatif dan bahan kimia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Untung bersih Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020 meningkat 37% kepada RM466 juta, berbanding RM340 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, perolehan menyusut 9.4% kepada RM3.84 bilion pada suku berkenaan berbanding RM4.23 bilion bagi tempoh sama 2019.  

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 pula, untung bersih jatuh 42% kepada RM1.63 bilion berbanding RM2.81 bilion tahun sebelumnya manakala perolehan susut 12% kepada RM14.36 bilion berbanding RM16.37 bilion. 

 

PCG mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7 sen setiap saham biasa berjumlah RM560 juta yang akan dibayar pada Mac 2021. 

 

Ini adalah tambahan kepada dividen interim pertama sebanyak 5 sen sesaham yang telah dibayar kepada pemegang-pemegang saham pada September 2020. 

 

Untuk tahun kewangan 2020, jumlah dividen sebanyak 12 sen atau RM960 juta, menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 59% daripada jumlah keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI).

 

Walaupun menghadapi persekitaran yang baharu dan sangat mencabar pada tahun lalu, PCG mencatatkan jumlah pengeluaran loji tertinggi dan mengekalkan margin perolehan yang positif sepanjang tahun. 

 

Semua ini tercapai pada masa PCG mengharungi ketidaktentuan pasaran serta impak aliran perdagangan akibat daripada kegagalan rundingan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+) dan wabak COVID-19.

 

 

Datuk Sazali Hamzah
Datuk Sazali Hamzah 

 

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, 2020 merupakan satu pengalaman yang luar biasa, di mana seluruh dunia bersama-sama mengharungi cabaran yang sukar. 

 

Katanya, impak daripada kegagalan rundingan OPEC+ dan wabak COVID-19 telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang berkurangan sehingga mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang serius. 

 

"Walaupun dengan kesukaran persekitaran yang baharu, PCG telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan. 

 

"PCG mengakhiri 2020 dengan kukuh hasil daipada tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dan komersial, didorong oleh momentum pemulihan pada suku keempat 2020," katanya. 

 

Pada suku akhir 2020, harga produk petrokimia semakin pulih dengan peningkatan harga minyak mentah serta pertumbuhan permintaan yang didorong oleh prospek ekonomi yang optimis.  

 

Mengenai pasaran, beliau berkata, momentum pemulihan dapat dilihat pada awal tahun ini dan menjangkakan peningkatan yang lebih baik tahun ini jika permintaan terus pulih. 

 

"Jika harga minyak mentah kekal melebihi AS$50 setong, ini akan memberi petanda baik bagi harga produk utama PCG," tambahnya.

 

Bagi memaksimumkan keuntungan, menurut Sazali, PCG akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta menerapkan disiplin kewangan yang tegas, terutama dengan beberapa perancangan penyelenggaraan loji pada tahun ini.

 

Beliau memberitahu, kumpulan turut memberi keutamaan terhadap permulaan dan operasi komersial bagi kemudahan petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) serta memulakan pembinaan fasiliti lain di kompleks Kerteh dan Gebeng. 

 

Mencapai sasaran projek pertumbuhan akan membantu PCG dalam mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat dalam menghadapi turun naik pasaran dan dinamik perubahan industri minyak dan gas, jelasnya. 

 

"Kami menjangkakan untuk membelanjakan sekitar RM6 bilion bagi derivatif dan bahan kimia khusus dalam tempoh 5 hingga 7 tahun akan datang. 

 

"Melabur dalam pembinaan kemudahan baru untuk menghasilkan rangkaian produk yang lebih luas akan memperkukuhkan lagi daya tahan kami,” kata beliau.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, selaras dengan usaha Alam Sekitar dan Tadbir Urus Korporat (ESG) kumpulan, rancangan pelaburan PCG juga termasuk membangunkan produk inovatif daripada sumber yang boleh diperbaharui.

 

"Ini sejajar  dengan keutamaan perniagaan dan agenda kelestarian serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," tambahnya. - DagangNews.com