PDT Oil & Gas jalin kerjasama strategik dengan PS Poly Pack, Kumpulan Pendidikan YPJ | DagangNews Skip to main content

PDT Oil & Gas jalin kerjasama strategik dengan PS Poly Pack, Kumpulan Pendidikan YPJ

Oleh ADAM ALIF
editor@dagangnews.com
 

JOHOR BAHRU 27 Ogos - PDT Oil & Gas Services Sdn. Bhd. (PDT O&G) memeterai dua perjanjian masing-masing dengan syarikat usaha sama, iaitu PS Poly Pack Sdn. Bhd. (PS Poly Pack) dan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ).

Kedua-dua perjanjian kolaborasi itu merupakan satu daripada perancangan strategik PDT O&G selaku anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Johor dalam usaha meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi membangunkan ekonomi syarikat-syarikat di Johor.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, PDT O&G dan PS Poly Pack akan bekerjasama dalam skop pembuatan dan pembekalan produk berasaskan plastik di Johor.

“Menerusi jalinan usaha sama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama mempelbagaikan pelan perniagaan dalam bidang berkaitan, khususnya industri penghasilan produk plastik yang merupakan satu daripada industri paling rancak dalam sektor pembuatan di Malaysia,” katanya pada majlis memeterai perjanjian di sini hari ini.
 

dmax
Dari kiri, Lokman Abu Bakar, Mohd. Shahrin Rahmat; Hasni Mohammad, Mohd. Zain Harun dan Kormain Mohd. Noor pada majlis memeterai perjanjian di pejabat menteri besar Johor, hari ini. - DagangNews.com


Beliau berkata, kerjasama kedua iaitu di antara PDT O&G menerusi anak syarikatnya PDT Training Sdn. Bhd., dengan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) melibatkan latihan kemahiran yang berkaitan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Latihan itu, tambahnya, diharap dapat meningkatkan kepakaran teknikal, kemahiran pengurusan dan pendedahan projek mega menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman kepada para kontraktor di Johor.

Hasni yang juga Pengerusi PDT O&G berkata, kerajaan negeri juga melihat perkara itu sebagai salah satu peluang yang baik bagi membantu PDT O&G dalam memperluaskan pemasaran syarikat sebagai pemain industri minyak dan gas di Pengerang.

Menurutnya, dalam mempelbagaikan pelan perniagaan, PDT O&G perlu menerokai peluang-peluang lain di Pengerang supaya syarikat terus kekal dan kukuh dalam industri minyak dan gas serta tidak hanya bergantung dengan pemberian kontrak kerja perkhidmatan semata-mata.

“Keadaan ekonomi yang kurang stabil juga diambil kira supaya PDT O&G mampu terus berdaya saing dalam industri yang mencabar ini. 

“Justeru, perancangan strategik untuk jangka masa tiga tahun akan datang kini sedang dirangka dengan mengambil kira perubahan iklim ekonomi dunia dan negeri Johor pada masa kini,” katanya.

Yang hair ialah Presiden PDT Oil & Gas Services, Lokman Abu Bakar; Pengarah PDT Oil & Gas Services, Mohd. Shahrin Rahmat; Pengarah Urusan PS Poly Pack Sdn. Bhd., Mohd. Zain Harun dan Ahli Lembaga Pengarah PDT Oil & Gas Services, Ir. Haji Kormain Mohd. Noor. - DagangNews.com