‘Pegang’ saham F&N - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Pegang’ saham F&N - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Firma penyelidik, CGS-CIMB Research meletakkan saranan untuk ‘pegang’ saham Fraser and Neave Holdings Berhad (F&N) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah, RM31.60. 

 

“Walaupun kami terus menyukai F&N kerana ketahanan perniagaannya, kami yakin saham kumpulan syarikat dinilai adil (didagangkan hampir +1 sisihan piawai (s.d.) dari min lima tahun). 

 

“Risiko kenaikan dan penurunan utama adalah masing-masing penurunan atau kenaikan mendadak harga bahan mentah,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, F&N yang berjaya mengambil alih tiga buah syarikat makanan dan minuman (F&B) meletakkan segmen halal sebagai tonggak baharu pertumbuhannya. 

 

Baca : F&N sasar makanan halal tonggak pertumbuhan baharu

 

Pengambilalihan Sri Nona Food Industries Sdn. Bhd., Sri Nona Industries Sdn. Bhd. dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn. Bhd. melibatkan nilai pelaburan sehingga RM60 juta. 

 

Dalam sebuah kenyataan, F&N mendedahkan pelaburan itu akan membolehkan pihaknya menambah lagi jenama makanan seisi rumah Malaysia kepada portfolio jenama terkenal kumpulan syarikat berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, kumpulan syarikat sentiasa mencari cara untuk ‘mentafsir semula’ perniagaannya menerusi pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan untuk memastikan masa depan yang lebih mampan.

 

Bagi CGS-CIMB, pengambilalihan ketiga-tiga syarikat itu akan melengkapkan F&N dengan jenama yang kukuh dan sebuah platform untuk menembusi lebih banyak segmen makanan halal. 

 

“Kami difahamkan bahawa F&N tidak menjangkakan impak ke atas gabungan keuntungan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) daripada pengambilalihan itu. 

 

“Kami belum memasukkan sebarang sumbangan daripada pengambilalihan itu ke dalam ramalan FY21 hingga FY23, sementara menunggu butiran lebih lanjut seperti metrik operasi dan rancangan pertumbuhan syarikat-syarikat ini,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com