Pekat guna kelebihan tenaga diperbaharui dan pemulihan di dalam sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

Pekat guna kelebihan tenaga diperbaharui dan pemulihan di dalam sektor pembinaan

PENGARAH syarikat Pekat selepas majlis penyenaraian di Bursa Malaysia hari ini. (Barisan depan, dari kiri); Chin Soo Mau; Tai Yee Chee; (Barisan kedua) Dato’ Eddie Ong, CEO Kumpulan Hextar; Wee Chek Aik (Barisan ketiga) Gary Ting, Ketua Pembiayaan Korporat, M&A Securities Sdn Bhd; dan Datuk Bill Tan, Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities Sdn Bhd.

 

SHAH ALAM 23 Jun – Pakar Solar Fotovoltan (PV) dan Perlindungan Kilat dan Pembumian (ELP) Pekat Group Berhad merancang untuk menggunakan kelebihan daripada sektor tenaga diperbaharui (“RE”) yang
semakin pesat dan pemulihan di dalam sektor pembinaan.

 

Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau berkata Syarikat dijangka meraih manfaat daripada inisiatif kerajaan, insentif kewangan dan potongan cukai bagi industri solar PV, dan memulih di dalam sektor pembinaan, dipacu oleh penerusan semula aktiviti di seluruh subsektor.

 

“Polisi-polisi dan insentif Kerajaan akan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan di dalam industri solar PV pada segmen pengguna akhir yang berbeza seperti kediaman, komersial dan industri.

 

“Insentif dan potongan cukai semasa seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau oleh MIDA akan terus memupuk lagi pembangunan di dalam industri solar PV. 

 

“Pekat seharusnya meraih manfaat daripada pelbagai program solar PV seperti inisiatif solar bumbung terbaharu menerusi program Pemeteran Bersih Tenaga (“NEM”) 3.0 - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, yang akan berkuatkuasa dari 2021 hingga 2023 dengan kuota 500 MW diperuntukkan untuk meningkatkan penggunaan solar oleh orang ramai di kediaman mereka, komersial dan industri,” ujar beliau.

 

Awal tahun ini, kerajaan menetapkan sasaran nasional sebanyak 31% RE kapasiti tenaga menjelang 2025, dan 40% pada 2035, kebanyakannya menggunakan solar. 

 

Pelbagai program solar, kelebihan dan peraturan telah dilaksanakan bagi memastikan sektor RE di Malaysia terus tumbuh dan menyumbang kepada ekonomi.

 

Menurut Laporan Kajian Pasaran Bebas, sektor pembinaan dijangka memulih sebanyak 13.4% pada 2021, selepas mencatat penurunan sebanyak 19.4% pada 2020, didorong penerusan aktiviti di semua subsektor.

 

Dalam subsektor kejuruteraan awam, pertumbuhan dijangka memulih seiring dengan permulaan semula aktiviti pembinaan bagi projek prasarana besar seperti Mass Rapid Transit 3, Light Rail Transit 3, Rapid Transit System - Johor Baharu-Singapura dan lebuh raya Pan Borneo dan jalan raya pesisir pantai di Sarawak, yang seterusnya akan meningkatkan permintaan bagi kepakaran dan produk ELP Pekat.

 

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyenaraian Secara Maya Pekat di Papan ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pagi ini, Chin berkata, dana yang diperoleh daripada kejayaan proses penyenaraian tersebut akan diguna oleh Pekat untuk mengembangkan perniagaan solar PV dan ELP.

 

Di bawah penyenaraian itu, Syarikat meraih RM44.4 juta daripada Penawaran Awam sebanyak 138.7 juta saham baharu pada harga RM0.32 sesaham.

 

Daripada keseluruhan hasil IPO, sebanyak RM18.0 juta akan diguna bagi membina bangunan ibu pejabat dan kemudahan operasi baru seiring dengan perluasan operasinya bagi mengambil peluang daripada pertumbuhan akan datang di dalam industri solar PV.

 

Bangunan ibu pejabat baharu akan memiliki kawasan seluas 114,252 kaki persegi dan disepadukan dengan semua kemudahan Syarikat (Ibu pejabat, kawasan pameran, stesen pemantauan pusat, pusat latihan, bengkel dan gudang) di bawah satu bumbung.

 

Bangunan ibu pejabat dan kemudahan operasi baharu itu akan menjadi “bangunan sifar tenaga bersih” yang mempamerkan penggunaan solar PV sebagai RE bagi menjana tenaga untuk bangunan perdagangan dan industri apabila siap dan beroperasi pada Disember 2023.

 

Pekat akan seterusnya menggunakan RM12.7 juta untuk memenuhi keperluan modal kerja terutama bagi pembelian bahan-bahan untuk projek seperti modul solar PV, pembalik solar PV dan produk dan aksesori ELP; RM10.0 juta untuk membayar balik pinjaman bank manakala baki RM3.7 juta untuk membayar perbelanjaan penyenaraian IPO tersebut.

 

Pertambahan modal kerja akan membantu keupayaan Syarikat meraih lebih banyak kontrak, menjalankan lebih banyak projek secara serentak dan menyediakan lebih banyak perkhidmatan penyenggaraan.

 

Setakat 3 Mei, buku tempahan sedia ada Pekat adalah bernilai RM154.9 juta, merangkumi RM92.8 juta bagi projek solar PV dan RM62.1 juta untuk projek ELP. Yang mana RM117.2 juta dijangka dibilkan pada 2021, RM24.8 juta pada 2022, RM11.5 juta pada 2023 dan RM1.4 juta pada 2024.

 

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 645.0 juta saham, Pekat menjangka permodalan pasarannya berjumlah RM206.4 juta selepas disenaraikan.

 

Pemegang saham utama Syarikat merangkumi Chin; Tai Yee Chee (Pengarah Eksekutif Pekat); Wee Chek Aik (Pengarah Eksekutif Pekat) dan Hextar Holdings Sdn Bhd (“Hextar”). Hextar merupakan pemegang saham terbesar syarikat tersenarai di Papan Utama, Hextar Global Berhad.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Agen Penempatan bagi proses IPO ini. - DagangNews.com