Pekerja pengurusan dan penyeliaan di pejabat dihadkan 4 jam, 3 hari seminggu - MITI | DagangNews Skip to main content

Pekerja pengurusan dan penyeliaan di pejabat dihadkan 4 jam, 3 hari seminggu - MITI


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan maksimum 10% pekerja dalam tugasan tertentu untuk berada di pejabat yang dihadkan selama 4 jam sahaja bermula 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu. 

Tugasan itu antaranya melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar atas) berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan. 

“Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. 

“Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

“Majikan perlu menetapkan garis panduan bekerja dari rumah (BDR) yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, kerajaan mengarahkan pekerja di kawasan PKPB untuk BDR bermula 22 Oktober sehingga tempoh kawalan pergerakan itu tamat. 

Berdasarkan sistem pangkalan data MITI COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang. 

Jelas Mohamed Azmin, mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pihak industri memperkenalkan dasar BDR bagi kakitangan  pengurusan dan penyeliaan sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan pandemik COVID-19 terutamanya di kawasan yang sedang menjalani PKPB.

“Daripada jumlah pekerja di atas, maklum balas yang diterima daripada industri, seramai 776,135 orang pekerja atau 25% adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. 

“Kumpulan ini diwajibkan untuk menjalani BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN,” tambah Mohamed Azmin. - DagangNews.com