Pekerja tempatan digesa sertai sektor pekerjaan 3D | DagangNews Skip to main content

Pekerja tempatan digesa sertai sektor pekerjaan 3D

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan - Kementerian Sumber Manusia menggesa dan menggalakkan pekerja tempatan supaya merebut peluang pekerjaan terutama berkaitan sektor pekerjaan 3D (kotor, berbahaya dan sukar).

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sejak kebelakangan ini sering dibangkitkan isu-isu mengenai kekurangan tenaga kerja berkaitan sektor 3D.

 

Beliau berkata, kekosongan sektor tersebut sering kali diisi pekerja asing berikutan tiada pekerja tempatan yang berminat.

 

"Justeru, majikan wajib membuat iklan kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs di bawah kementerian. Ini bertujuan memastikan peluang pekerjaan yang ada dalam pasaran ditawarkan kepada pekerja tempatan sebelum kekosongan itu diisi oleh pekerja asing.

 

"Kewajipan majikan untuk mengiklankan kekosongan jawatan sekurang-kurangnya selama 30 hari di portal MYFutureJobs telah bermula sejak 1 Januari 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

sara
                                                                     Datuk Seri M. Saravanan

 

Saravanan berkata, kerajaan prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh majikan yang terlibat dalam sektor pekerjaan 3D. 

 

Beliau berkata, kabinet bersetuju membenarkan pengambilan pekerja warga asing dalam semua sektor yang dibenarkan pada 10 Disember 2021. 

 

"Semua sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing ini adalah pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik," katanya. - DagangNews.com