Pekerja tidak memenuhi caruman minimum dibenar mohon SIP | DagangNews Skip to main content

Pekerja tidak memenuhi caruman minimum dibenar mohon SIP

Perkeso

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Mana-mana individu yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi kelonggaran dalam syarat permohonan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Prihatin.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum atau tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya 3 kali dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan berkenaan.

 

Jelas Muhyiddin, jumlah bantuan kewangan SIP Prihatin yang dibenarkan itu melibatkan sebanyak 30% daripada gaji individu selama tiga bulan.

 

Dalam pengumuman Belanjawan 2021, SIP Prihatin adalah bantuan kewangan kepada pekerja yang telah berdaftar di bawah SIP dan kehilangan pekerjaan (LOE), meliputi dua kategori sama ada yang layak atau yang tidak layak mendapat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). 

 

SIP Prihatin diperkenal dengan tujuan untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan yang terkesan akibat krisis wabak COVID-19 sebagai bantuan segera bagi meneruskan kelangsungan hidup di samping berusaha mencari peluang pekerjaan baharu. - DagangNews.com