Pelabur asing ‘lali’ dengan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing ‘lali’ dengan vaksin COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Walaupun Malaysia menyaksikan ‘ketibaan’ vaksin COVID-19 yang ditunggu-tunggu pada 21 Februari lalu, namun pasaran ekuiti tempatan masih menyaksikan aliran keluar asing hampir setiap hari. 

 

Menurut MIDF Research, pelabur asing merupakan penjual bersih pada minggu lalu berakhir 26 Februari dengan nilai aliran keluar pada kadar -RM477.43 juta. 

 

“Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing menjual bersih sebanyak -RM225.46 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan menjadi pembeli bersih, masing-masing bernilai RM194.06 juta dan RM31.40 juta.

 

“Walaupun terdapat pengedaran vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech di Malaysia, namun pada minggu lalu, pasaran menyaksikan aliran keluar bersih asing setiap hari kecuali pada Khamis. 

 

“Aliran masuk tidak mampu untuk menampung momentum negatif. Aliran asing terbesar dicatatkan pada Isnin iaitu -RM225.46 juta dan terendah pada Jumaat, hanya -RM80.11 juta,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Namun, prestasi berbeza ditonjolkan oleh pelabur runcit yang masih menjadi pembeli bersih pada setiap hari, minggu lalu, tambah MIDF.

 

Ujar firma penyelidikan itu, pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Rabu bernilai RM274.05 juta dan terendah pada Khamis, RM90.88 juta. 

 

Sementara bagi pelabur institusi tempatan pula, MIDF memberitahu mereka merupakan penjual bersih setiap hari kecuali pada Isnin. 

 

“Pengakhiran yang bercampur dicatatkan selepas tiga minggu menyaksikan trend penjualan bersih pada tahun ini. Aliran keluar mingguan terkumpul bernilai -RM461.26 juta. 

 

“Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Khamis, pada kadar -RM235.35 juta pada tempoh dagangan minggu lalu dan aliran keluar terendah pada Selasa, -RM29.31 juta,” tambah MIDF.

 

Sejak permulaan 2021, secara terkumpulnya, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli di pasaran ekuiti tempatan bernilai RM3.75 bilion, jelas MIDF.

 

Pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing merupakan penjual bersih bernilai -RM2.05 bilion dan -RM0.42 bilion, ujar MIDF lanjut. 

 

Jika dibandingkan dengan tiga pasaran Asia Tenggara yang diperhatikan MIDF pada minggu lalu, Indonesia satu-satunya negara mencatatkan aliran masuk. 

 

Dari segi penyertaan, menurut MIDF, pelabur runcit, asing dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan mingguan sebanyak +0.43%, +8.42% dan +48.83% dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV).

 

Pada minggu lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hartalega Holdings Berhad dan Cahya Mata Sarawak Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM2.74 juta, RM1.72 juta dan RM1.61 juta. 

 


Sementara Top Glove Corporation Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Genting Berhad mencatatkan aliran keluar tertinggi, masing-masing bernilai -RM9.65 juta, -RM6.00 juta dan –RM5.25 juta. - DagangNews.com