Skip to main content

Pelabur asing semakin ‘minat’ dengan bon Malaysia - Firma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Pelabur asing terus mengekalkan kedudukan mereka sebagai pembeli bersih bon Malaysia untuk 11 bulan berturut-turut walaupun aliran masuk menyusut kepada RM5.8 bilion pada Mac 2021. 

 

Menurut Kenanga Research, pemegangan hutang asing terus melonjak, mengekalkan paras tertingginya dalam tempoh empat tahun, iaitu RM239.6 bilion.

 

“Aliran masuk (pasaran bon Malaysia) terus dipacu oleh perbezaan kadar hasil tinggi dan keyakinan pemulihan yang kian bertambah baik. 

 

“(Ini) diikuti oleh pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion selain sekatan COVID-19 yang dilonggarkan lagi. 

 

“Namun, aliran masuk melemah ekoran penjualan bon global,” jelas Kenanga dalam nota kajiannya hari ini.

 

Tambah firma penyelidikan itu, aliran masuk yang meruncing disebabkan, terutamanya oleh pemegangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang meningkat sedikit sahaja, ketinggalan berbanding Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang melonjak lebih besar.

 

Dalam jangkaan Kenanga, pasaran hutang negara akan terus menarik permintaan asing dalam tempoh terdekat, ketika perbezaan kadar hasil yang menarik disusuli pula oleh tinjauan positif FTSE Russell ke atas bon Malaysia.

 

Bagaimanapun, Kenanga memberi amaran bahawa risiko penurunan telah muncul disebabkan oleh kemungkinan peningkatan sentimen risiko global, ketika jangkitan COVID-19 meningkat semula di Eropah.

 

“Ringgit mungkin berdepan tekanan dalam jangka masa terdekat, memandangkan kadar hasil bon Amerika Syarikat (AS) terus meningkat. 

 

“Namun, bagi jangka masa panjang, ringgit mungkin menemui kekuatan sekiranya ekonomi domestik terus dibuka apabila lebih ramai rakyat divaksin,” tambah Kenanga.

 

Kenanga mengekalkan unjuran kadar ringgit berbanding dolar AS iaitu RM3.95 berbanding RM4.02 pada tahun lalu. - DagangNews.com