Pelabur bimbang risiko penangguhan RP3 kepada TNB, CGS-CIMB semak harga sasaran lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Pelabur bimbang risiko penangguhan RP3 kepada TNB, CGS-CIMB semak harga sasaran lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Jan - CGS-CIMB Research menjangkakan keputusan mengenai parameter bagi tempoh Regulatori Ketiga (RP3) dan tarif baharu elektrik akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat. 

 

Ini berikutan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini bahawa kerajaan akan mempertimbangkan semula kadar tarif elektrik negara ini bagi tempoh 2022 sehingga 2024 bagi mengurangkan bebanan kepada rakyat dengan mengambil kira keadaan negara ini yang baru pulih daripada COVID-19 dan krisis ekonomi.

 

Pada 1 Januari lalu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan penangguhan pelaksanaan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi tempoh RP3 (2022-2024).

 

Sehubungan itu, kadar purata tarif asas elektrik kekal pada 39.45 sen per kilowatt jam (kWj) di Semenanjung sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan.

 

Kerajaan turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) mulai 1 Januari 2022 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan

 

Malah, TNB sebelum ini sudah menjelaskan penangguhan tersebut disebabkan kerajaan mahu memberi tumpuan untuk menangani masalah banjir yang melanda negara pada hujung tahun lalu.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng bagaimanapun berkata, kertas kerja mengenai RP3 sudah pun bersedia dan menanti kelulusan Kabinet, yang akan dikaji semula apabila situasi banjir kembali reda.

 

"Ketika menganjurkan Hari Korporat Malaysia secara maya minggu lalu bersama TNB, kami dapati rata-rata pelabur bimbang mengenai kelewatan pelaksanaan RP3 ini, sama ada mekanisme ICPT dikekalkan, isu kekurangan arang batu mahupun risiko pendapatan disebabkan pengenalan mekanisme harga karbon. 

 

"Dalam hal ini, kami melihat risiko kawal selia yang lebih tinggi kepada pendapatan TNB ekoran perkembangan terkini mengenai RP3 dan juga ICPT.

 

"Namun, kami mendapati rangka kerja penetapan harga karbon masih di peringkat awal tanpa sebarang butiran lanjut dan kos tambahan yang timbul daripada penetapan harga karbon untuk penjana kuasa mungkin akan diluluskan," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan firma itu mengulangi saranan 'tambah' ke atas saham TNB memandangkan potensi risiko pendapatan daripada parameter RP3/mekanisme yang kurang menguntungkan dan kemungkinan tambahan sumbangan rebat elektrik bagi mengurangkan beban rakyat. 

 

CGS-CIMB turut menyemak semula harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM10.88 daripada RM13.60 sebelum ini setelah mengambil kira risiko terhadap kawal selia. 

 

"Walaupun pulangan terkawal yang kemungkinan lebih rendah dalam RP3 boleh menjadi negatif kepada TNB, tetapi asas aset yang lebih tinggi mungkin akan mengurangkan kemerosotan pendapatan. 

 

"Kami menjangkakan pengurangan 30 mata asas dalam pulangan terkawal ini dan pertumbuhan asas aset dikawalselia (RAB) pada 3% setahun di bawah RP3 (unjuran untuk tahun kewangan 2022-2024)," katanya. 

 

Menurut Siew Teng, ketidaktentuan harga bahan api dijangka tidak menjejaskan pendapatan TNB tetapi penangguhan surcaj ICPT boleh memberi tekanan kepada kunci kira-kira kumpulan. 

 

"Pengurusan TNB turut menjelaskan aliran tunai kumpulan masih kukuh dan mempunyai rizab sebagai penampan buat masa ini. 

 

"Malah, kumpulan juga komited kepada polisi dividen dengan membayar 30 hingga 60% daripada pelarasan pendapatannya," katanya. 

 

Setakat 9.38 pagi ini, harga saham TNB susut 3 sen atau 0.33% kepada RM9.07 dengan 349,100 saham diniagakan. - DagangNews.com