Pelabur runcit ‘berpusu-pusu’ masuk Bursa Malaysia semasa PKPB | DagangNews Skip to main content

Pelabur runcit ‘berpusu-pusu’ masuk Bursa Malaysia semasa PKPB


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Lembah Klang dan Sabah telah mendorong kemasukan pelabur runcit yang tinggi ke dalam pasaran Bursa Malaysia. 

Purata jumlah dan nilai pusing ganti di Bursa Malaysia masing-masing melonjak 11% dan 29% kepada 6.9 bilion dan RM4.8 bilion pada minggu lalu. 

Menurut CGS-CIMB Research, dalam tempoh berkenaan, pelabur runcit telah menyumbang kepada nilai dagangan saham tertinggi iaitu 34.7% daripada jumlah keseluruhan.

Ini diikuti oleh pelabur institusi (24.9%), perdagangan hak milik (23.8%) dan penama (16.6%).

“Daripada jumlah pelaburan institusi yang bernilai RM11.7 bilion pada minggu lalu, 51.3% merupakan domestik manakala 48.7% adalah pelabur asing.

“Dari awal tahun sehingga kini, pelabur runcit telah menyumbang sehingga 33.3% saham (tempatan/asing 98.8%/1.2%) daripada jumlah nilai dagangan,” jelas laporan analisis aliran dana yang pertama kali dikeluarkan CGS-CIMB. 

Tambah CGS-CIMB, aliran dana pada minggu lalu menunjukkan pelabur runcit cenderung ke arah saham berprestasi rendah (laggard) dan mengambil keuntungan dalam saham sarung tangan. 

Genting Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan CIMB Bank Berhad antara saham yang berprestasi rendah dalam konstituen KLCI, menyaksikan aliran dana masuk tertinggi daripada pelabur runcit pada minggu lalu. 

“Kami mendapati pelabur runcit mengambil keuntungan daripada Top Glove Corporation Berhad, Supermax Corporation Berhad dan VS Industry Berhad pada minggu lalu - antara peraih tertinggi setakat ini,” jelas CGS-CIMB. 

Dalam masa sama, pembuat sarung tangan (Top Glove, Supermax dan Hartalega Holdings Berhad) antara yang menerima manfaat tinggi daripada aliran masuk bersih dana pelabur institusi.

Ini mungkin didorong penantian ‘weightage’ mereka yang dijangka meningkat lebih tinggi dan potensi kemasukan ke dalam KLCI, seperti Supermax yang disebabkan oleh kedudukan modal pasaran bertambah baik. 

Golongan pelabur itu terus menjual saham Genting dan Genting Malaysia susulan jangkaan kedua-duanya dibuang daripada indeks KLCI. - DagangNews.com