Pelaburan besar Yamato Holdings kukuhkan kedudukan iStore iSend di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Pelaburan besar Yamato Holdings kukuhkan kedudukan iStore iSend di Asia Tenggara

 iStore iSend - Yamato Holdings

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Syarikat perkhidmatan e-pemenuhan (e-fulfilment) Malaysia, iStore iSend menerima suntikan pelaburan besar mencecah tujuh angka daripada Kuroneko Innovation Fund yang dimiliki Yamato Holdings.

 

Dana yang diuruskan oleh Global Brain Corporation itu akan digunakan oleh iStore iSend untuk pemerolehan bakat dan menambah baik sistem miliknya sendiri bagi membantu perancangannya mengembangkan perniagaan ke luar negara.

 

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif iStore iSend, Joe Khoo berkata, pihaknya berharap agar perkongsian strategik itu akan terus mengukuhkan kedudukan iStore iSend di rantau Asia Tenggara.

 

"Pelaburan daripada Kuroneko Innovation Fund akan membantu kami berkembang ke dalam pasaran e-dagang di negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ditubuhkan pada 2015, iStore iSend menawarkan perkhidmatan menyeluruh meliputi khidmat penyimpanan, khidmat kutip dan bungkus (pick-and-pack) serta khidmat penghantaran sebaik sahaja sesuatu pesanan e-dagang diterima.

 

Syarikat berkenaan juga menawarkan perkhidmatan nilai tambahan seperti pengurusan inventori masa nyata dan penjejakan penghantaran. 

 

Pengintegrasian sistemnya dengan platform e-dagang membolehkan syarikat berkenaan menerima dan memenuhi pesanan sebaik sahaja pesanan dilakukan, sekali gus memastikan proses penghantaran berjalan dengan cekap dan pantas.

 

iStore iSend juga mempunyai sistem pengurusan gudang (WMS) yang digunakan untuk menguasakan hab unit penyimpanan stok (SKU) jenama-jenama.

 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Urusan Kanan Yamato Holdings, Shinji Makiura memberitahu, Yamato Holdings akan terus mengorak langkah untuk membekalkan nilai baru ke dalam pasaran e-dagang yang berkembang pesat di Asia menerusi penyertaaan iStore iSend ke dalam portfolio Kuroneko Innovation Fund.

 

Pelaburan tersebut adalah kesinambungan daripada suntikan modal Series B iStore iSend bernilai AS$5.5 juta pada Januari 2021, yang berjaya dilakukan oleh Gobi Partners dan EasyParcel. - DagangNews.com