Pelaburan ekuiti minoriti AIA Malaysia dalam TNG Digital | DagangNews Skip to main content

Pelaburan ekuiti minoriti AIA Malaysia dalam TNG Digital

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - AIA Bhd. (AIA Malaysia) akan membuat pelaburan ekuiti minoriti dalam TNG Digital Sdn. Bhd., menerusi pembentukan jalinan kerjasama strategik jangka panjang.

 

TNG Digital adalah pemilik Touch ‘n Go eWallet,  syarikat eDompet terbesar di Malaysia .

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng berkata, syarikat insurans itu akan menyediakan penyelesaian insurans digital yang inovatif dan diperibadikan bagi memenuhi keperluan perlindungan lebih daripada 16 juta pelanggan Touch ‘n Go eWallet di seluruh negara.

 

Katanya, menerusi teknologi insurans digital yang hebat dan efisien yang akan ditawarkan melalui jalinan kerjasama ini, AIA akan memberikan pengalaman yang mudah dan lancar kepada para pelanggan Touch ‘n Go eWallet untuk membeli, membuat tuntutan ataupun memperbaharui polisi.

 

"Kerjasama dengan rakan digital yang terbaik di pasaran memberi peluang kepada AIA untuk menawarkan pelanggan Touch ‘n Go eWallet penyelesaian insurans yang boleh dibeli secara langsung dalam talian dan melalui saluran pengedaran AIA yang sedia ada.

 

"Ini termasuk pasukan agensinya seramai 19,000 orang yang berkelayakan memberi nasihat dan panduan mengenai perlindungan insurans dan takaful yang lebih komprehensif," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Sebelum itu, terdapat laporan sebuah portal berbahasa Inggeris yang memetik sumber berkata, penyertaan AIA dalam TNG Digital bernilai kira-kira AS$700 juta atau hampir RM3 bilion.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, insurans menjadi tonggak utama memandangkan kumpulan mahu berkembang dalam pasaran kewangan.

 

"Kami berharap kerjasama dengan AIA dapat membawa lebih banyak produk dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna Touch 'n Go eWallet," katanya. - DagangNews.com