Pelaburan GIC bukti keyakinan terhadap ekonomi negara dan Sunway - PM | DagangNews Skip to main content

Pelaburan GIC bukti keyakinan terhadap ekonomi negara dan Sunway - PM

Rakaman ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena pemeteraian pembelian kepentingan oleh GIC dalam Sunway Healthcare.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pelaburan oleh dana pelaburan Singapura, GIC Pte Ltd. ke dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd. membuktikan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan Sunway Group.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena pemeteraian pembelian kepentingan oleh GIC dalam Sunway Healthcare, hari ini. 

 

GIC, dana pelaburan kerajaan Singapura melabur dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia dengan membeli 16 peratus kepentingan dalam segmen perniagaan penjagaan kesihatan milik Sunway itu sebanyak RM750 juta.

 

Urus niaga itu, yang menilai Sunway Healthcare hampir RM4.69 bilion, dibuat berasaskan kesediaan pembeli dan penjual susulan penilaian cadangan dari pelbagai dana pelaburan domestik dan antarabangsa, dana pelaburan kerajaan dan firma ekuiti swasta. 

 

Muhyiddin berkata, ia turut membuktikan prestasi terbaik Sunway dalam industri berkenaan dan potensi besar sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

 

Katanya, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka meningkat 127 peratus kepada RM127.9 bilion pada 2027 berbanding RM56.3 bilion pada 2017, menurut Fitch Solutions Macro Research. 

 

“Kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang telah lama wujud dan disokong oleh doktor yang berpengalaman dan diiktiraf antarabangsa serta kakitangan perubatan terlatih telah menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

 

“Pada 2019, negara telah menarik 1.3 juta pelancong penjagaan kesihatan antarabangsa dengan sejumlah RM1.7 bilion dalam resit hospital. 

 

"Sebilangan besar pelancong penjagaan kesihatan berasal dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun, United Kingdom, Filipina, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat,” katanya.

 

Menurut Perdana Menteri, sektor penjagaan kesihatan pada masa depan akan didorong oleh perubahan struktur demografik, sekali gus menyaksikan peluang baharu kepada pelabur.

 

Menjelang 2044, katanya, 14 peratus daripada jumlah populasi dijangka berumur 65 tahun ke atas menjadikan Malaysia sebagai 'komuniti berusia'.

 

"Meskipun, populasi penduduk berusia merupakan satu cabaran, tetapi, tidak semestinya tiada peluang.

 

"Memenuhi keperluan dan permintaan warga emas adalah 'hikmah' kepada ekonomi memandangkan penjagaan warga emas akan menjadi pemacu baharu kepada ekonomi," tambahnya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, masih banyak yang perlu dilakukan, memandangkan pandemik COVID-19 telah mendedahkan kelemahan sistem penjagaan kesihatan seperti sumber manusia, logistik, penjagaan pesakit dan rantaian bekalan. - DagangNews.com