Pelaburan RM15 bilion, 5G boleh dinikmati hujung tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pelaburan RM15 bilion, 5G boleh dinikmati hujung tahun ini

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kerajaan akan melabur sebanyak RM15 bilion bagi tempoh 10 tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara. 

 

Ini akan mewujudkan lebih kurang 105,000 peluang pekerjaan, menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pelacaran inisiatif MyDigital pagi tadi.

 

Beliau berkata, usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus (SPV) di bawah kerajaan. 

 

"Entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G," katanya. 

 

Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Menurut beliau, di bawah pelaksanaan 5G, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan. 

 

Katanya, perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna. 

 

"Keadaan ini akan melonjakkan penggunaan 5G dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan," katanya. 

 

Perdana Menteri berkata, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. 

 

Dengan ini, katanya, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta. 

 

"Bayangkanlah, teknologi 5G ini merupakan satu gamechanger, kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. 

 

"Ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting daripada itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna.

 

"Antaranya, termasuklah aplikasi-aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit-pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar dan aplikasi-aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian," jelas beliau. - DagangNews.com