Pelaburan Western Digital buka 800 peluang kerja di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Pelaburan Western Digital buka 800 peluang kerja di Sarawak

HGST Malaysia Sdn. Bhd. (HGST)

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Pelaburan berjumlah RM1 juta yang dirancang oleh Western Digital bagi mengembangkan kilang syarikat miliknya iaitu HGST Malaysia Sdn. Bhd. (HGST) dilihat bakal mewujudkan 800 peluang pekerjaan baharu di Sarawak.

 

HGST yang beroperasi sebagai pengeluar peranti storan komputer itu beroperasi di Sama Jaya High Tech Park, Kuching, Sarawak.

 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rancangan pengembangan syarikat itu juga membuktikan keyakinan pemilik syarikat dari Amerika itu terhadap kepimpinan Sarawak.

 

"HGST menjangkakan pembinaan pengembangan kilang itu akan dimulakan pada awal 2021. Pengembangan baharu itu akan menggunakan Industri 4.0 dan akan memerlukan 800 tambahan tenaga kerja mahir," jelasnya dalam satu kenyataan seperti dilapor Dayak Daily.

 

Beliau yang turut merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) diberi penerangan dan taklimat secara maya berkaitan pengembangan syarikat oleh wakil HGST.

 

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan 

 

Taklimat pengembangan HGST disampaikan oleh Pengarah Kanan (Sarawak Substrate Operations), Chok Siong See; Pengarah (Sarawak Facilities Operations), Teo Lian Seng; Naib Presiden dan Pengurus Besar (Media and Substrate Operations), Oung Kheng Huat.

 

Turut hadir bersama dalam taklimat maya itu ialah Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan PKS, Datuk Mohd. Naroden Majais; Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh dan ramai lagi.

 

Hingga kini, HGST mempunyai kira-kira 1,800 pekerja di Kuching dengan 10.8% daripadanya adalah pemegang Ijazah dan Ijazah Sarjana (master).

 

Manakala 26.3% pula adalah pemegang Sijil dan Diploma, selebihnya adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke atas. - DagangNews.com