Pelaksanaan cukai gula April ini, beri risiko kepada permintaan produk Power Root | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan cukai gula April ini, beri risiko kepada permintaan produk Power Root

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - CGS-CIMB positif terhadap prospek Power Root Bhd. dalam tempoh terdekat setelah mengambil kira kenaikan harga pada bulan ini dan permintaan terpendam (pent-up) mencerminkan prestasi separuh kedua 2022 yang lebih baik. 

 

Dalam nota kajian hari ini, firma itu berkata, langkah kumpulan menaikkan harga purata jualan (ASP) antara 9 hingga 10% bagi produknya di Malaysia dan 5% untuk rantau lain dapat membantu menangani kenaikan harga bahan mentah dan kos logistik yang dianggarkan meningkatkan kos barang dijual (COGS) kira-kira 10 hingga 15%. 

 

"Di samping itu, kami mendapati kumpulan telah menetapkan harga kopi pada kadar yang menggalakkan sehingga Oktober 2022, yang sepatutnya dapat membantu mengurangkan tekanan kos. 

 

"Pada masa sama, kilang Power Root juga beroperasi dengan kapasiti penuh dengan kadar penggunaan hampir mencecah paras sebelum pandemik (lebih 90%) bagi memenuhi pengeluaran yang tertangguh dan juga permintaan terpendam sekepas aktiviti ekonomi dibuka semula 11 Oktober lalu," katanya. 

 

Ini membolehkan firma itu mengulangi saranan 'pegang' terhadap Power Root dengan harga sasaran disemak lebih tinggi pada RM1.40 berbanding sebelum ini, RM1.30.

 

Mengenai pelaksanaan duti eksais berkuat kuasa 1 April 2022, kumpulan telah merumuskan semula sehingga 95% daripada minuman pracampurannya (kira-kira 75% daripada jualan) untuk menurunkan kandungan gula kepada paras sebelum cukai dan bukannya menaikkan harga, yang akan dilancarkan pada 22 Mac.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan perubahan kepada produk minuman ini akan memberi risiko kepada permintaan, terutamanya selepas pembelian awal dibuat.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) Power Root bagi tahun kewangan 2023 (FY23) hingga FY24 antara 14 hingga 17% setelah mengambil kira kesan daripada cukai gula ini dan permintaan jualan eksport yang masih lemah," tambahnya. 

 

Di bawah Bajet 2022, kerajaan bercadang meluaskan pelaksanaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.

 

Berkuat kuasa 1 April 2022, duti eksais 47 sen/100 gram akan dikenakan kepada produk minuman pracampuran yang mengandungi kandungan gula melebihi had 33.3 gram/100 gram.

 

Setakat 10.10 pagi ini, harga saham Power Root kekal tidak berubah pada RM1.32. -DagangNews.com