Skip to main content

Pelaksanaan gaji minimum dijangka beri kesan kepada keuntungan Inari Amertron

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan polisi gaji minimum yang diperkenalkan bakal memberi kesan kepada keuntungan Inari Amertron Berhad untuk jangka masa singkat.

 

Firma itu berkata, walaupun terkesan dengan polisi baharu itu namun ia dijangka bakal diimbangi oleh inisiatif strategik seperti pengenalan Inari Management Execution System (IMES).

 

"Pengenalan sistem IMES itu bakal memperbaiki kecekapan operasi kumpulan selain mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma itu berkata, kumpulan itu positif terhadap perkembangan komuikasi optical dan aplikasi industri selepas melihat peningkatan penggunaan terhadap produk gentian optik serta peranti bertenaga tinggi.

 

Kedua-dua segmen itu menyumbang kira-kira 19% kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh 9MFY6/22.

 

BACA JUGA: Permintaan cip RF Inari Amertron dijangka terus meningkat - MIDF Research

 

Kumpulan itu juga berjaya mendapatkan pelanggan ketiga untuk pemasangan sistem-pada-modul (SOM) serta ujian dan kini dalam peringkat kelayakan.

 

"Sementara itu, kumpulan itu telah memulakan pengeluaran peranti kecil kuasa SOM dan untuk pelanggan A dan bakal memulakan pengeluaran untuk pelanggan B pada 2HCY22F," katanya.

 

Dalam pada itu, firma itu berkata, kumpulan itu juga berjaya mendapatkan pelanggan baharu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan mereka menjangkakan untuk memulakan proses kelayakan pada 22 Jun 2022 dan pengeluaran pada 23 Januari 2023.

 

"Secara keseluruhannya, kumpulan itu mengulangi sasarannya sumbangan jualan sekurang-kurangnya 5% dan 15% daripada inisiatif baharu kepada FY22F kumpulan dan FY23F," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.40. - DagangNews.com