Pelaksanaan parameter RP3 kurang jelas, TNB dijangka berdepan risiko pendapatan | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan parameter RP3 kurang jelas, TNB dijangka berdepan risiko pendapatan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Feb - Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) yang kurang jelas dijangka menimbulkan risiko dalam tempoh terdekat kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) meskipun kerajaan mengumumkan kadar tarif elektrik semasa kekal tidak berubah. 

 

Suruhanjaya Tenaga pada 28 Januari lalu mengumumkan kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024.

 

Bagaimanapun, dari segi Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) separuh tahun, pengguna bukan domestik akan dikenakan caj 3.7sen/kwh mulai 1 Februari hingga 30 Jun 2022 (berbanding 2sen/kwh sebelum ini). 

 

Ini berikutan berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 per tan.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, terdapat risiko pendapatan terhadap TNB berikutan parameter RP3 yang kurang menguntungkan dan kemungkinan tambahan rebat eletrik bagi mengurangkan beban rakyat. 

 

Katanya, walaupun pelaksanaan RP3 dan Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) yang berterusan melegakan pelabur, tetapi parameter RP3 yang kurang jelas merupakan salah satu risiko dalam masa terdekat. 

 

"Oleh itu, buat masa ini, kami mengekalkan unjuran kami kerana mengambil kira impak daripada pelaksanaan ICPT yang neutral ke atas TNB dan tidak menjejaskan operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya. 

 

"Selain itu, tiada maklumat terperinci mengenai saiz asas aset atau pulangan aset terkawal di bawah RP3. 

 

"Kami menjangkakan setiap pengurangan 30 mata asas dalam pulangan terkawal kepada 7% dan 3% pertumbuhan asas aset terkawal (RAB) setiap tahun bagi RP3," katanya dalam nota kajian bertarikh 29 Januari lalu. 

 

Firma itu bagaimanapun mengulangi saranan 'tambah' terhadap TNB dengan harga sasaran pada RM10.88 sesaham.

 

Suruhanjaya Tenaga memaklumkan keputusan mengekalkan kadar tarif elektrik dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain, sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 per tan.

 

Bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.

 

Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45%, dan memberi impak besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59% sumber penjanaan daripada arang batu.

 

Dalam pada itu, penganalisis Public Investment Bank Research, Tan Siang Hing menyifatkan keputusan Suruhanjaya Tenaga untuk melaksanakan RP3 di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dilihat sesuatu yang mengejutkan. 

 

Ini kerana katanya, pihak suruhanjaya beberapa minggu sebelum itu membuat keputusan untuk melanjutkan RP2 buat kali kedua dengan semua parameter IBR tidak berubah berkuat kuasa 1 Januari 2022 sehingga 'makluman selanjutnya' diberitahu kelak. 

 

"RP2 yang berakhir pada 2020, secara dasarnya telah dilanjutkan selama setahun sehingga akhir 2021 dan ia sepatutnya digantikan dengan RP3. 

 

"Bagaimanapun, terdapat beberapa parameter RP3 yang masih belum didedahkan oleh Suruhanjaya Tenaga, tetapi kerajaan buat masa ini mengekalkan dahulu kadar elektrik di Semenanjung Malaysia," jelasnya.

 

Namun, menurutnya, butiran terperinci masih lagi kurang jelas terutama berkaitan kadar pulangan RAB dan perbelanjaan modal (capex) dalam tempoh berkenaan. 

 

Dengan mengambil kira semua faktor ini, firma tersebut mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM12.42 sesaham.

 

Setakat 10.18 pagi ini, harga saham TNB susut 5 sen atau 0.54% kepada RM9.17 dengan 185,400 saham diniagakan. - DagangNews.com