Pelan mobiliti rendah karbon Malaysia tidak cukup atasi cabaran utama EV  | DagangNews Skip to main content

Pelan mobiliti rendah karbon Malaysia tidak cukup atasi cabaran utama EV 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 April - Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang menyasarkan untuk menangani isu pelepasan pengangkutan darat masih tidak dapat mengatasi sebahagian daripada faktor utama yang menghalang penggunaan kenderaan elektrik (EV) di negara ini. 

 

Ini seperti kos bateri yang sangat tinggi, menjadikan kos EV 30% hingga 40% lebih tinggi berbanding kenderaan pembakaran enjin dalaman (ICEV), menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, SOCAR Mobility Asia, Leon Foong.

 

Katanya, rancangan untuk menghasilkan EV keluaran tempatan seperti MyKar pada harga bawah RM50,000 masih berada pada peringkat pembuktian konsep. 

 

Leon Foong
Leon Foong

 

“Oleh itu, apabila kita melihat bahawa rakyat Malaysia enggan membayar lebih bagi membeli sebuah EV, di mana kebanyakan daripada mereka mahukan harga yang sama dengan kereta biasa (23.88%), atau sanggup membayar sehingga 10% lebih tinggi (17.21%) atau sehingga 30% lebih tinggi (16.06%), di sini terdapat ruang di mana SOCAR boleh membantu rakyat Malaysia mengurangkan kos pemilikan EV.

 

“Sebagai sebuah syarikat yang komited untuk memperluaskan lagi akses kepada pilihan mobiliti, SOCAR mahu memangkin penggunaan EV di Malaysia, yang menjadi sebahagian daripada usaha ke arah kelestarian mobiliti. 

 

“Dengan menggunakan data dan rangkaian zon SOCAR yang sedia ada, kami boleh menjalinkan kerjasama erat dengan penyedia infrastruktur pengecasan bagi merancang secara efektif di mana EV berkenaan sepatutnya disediakan, di mana kami boleh meramal permintaan dan corak penggunaan dari hari pertama kenderaan ini mula disediakan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Dalam pada itu, katanya, tidak hairan jika wujud kebimbangan bahawa Malaysia kini sedang ketinggalan di belakang Thailand, Indonesia dan Singapura dari segi pembangunan polisi mesra EV dan tidak mengambil bahagian dalam industri yang sedang pesat membangun ini.

 

Ini berdasarkan ramalan industri, termasuk unjuran bahawa kira-kira 20% kenderaan di Asia Tenggara bakal terdiri daripada kenderaan elektrik menjelang 2025, diikuti dengan jualan EV melebihi jualan ICEV di ASEAN mulai 2035  dan berkembang hampir lima kali ganda kepada AS$568.2 bilion menjelang 2026.

 

“Sementara itu, data yang diperolehi boleh digunakan untuk mengenal pasti dan mengatasi halangan berkaitan infrastruktur, bagi menyokong peningkatan penggunaan EV. 

 

“Sebagai contoh, syarikat utiliti negara seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menggunakan data mengenai keperluan pengecasan untuk memastikan ada pusat pengecasan yang mencukupi dan keseimbangan bebanan tenaga elektrik yang efisien di semua lokasi strategik, manakala penyedia mobiliti boleh bergantung kepada data platform SOCAR untuk memastikan stesen pengecasan ditempatkan di lokasi-lokasi yang tepat bagi memenuhi keperluan pemanduan dalam bandar dan jarak jauh,” katanya lagi.

 

Tambah beliau, walaupun penggunaan EV semakin meningkat di seluruh dunia, namun sektor ini baru mula mendapat perhatian di Malaysia. 

 

Selain daripada menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada EV atas faktor kelestarian, faktor ekonomi turut menjadi sebab utama kenapa Malaysia perlu melabur dalam inovasi hijau, katanya lagi. - DagangNews.com