KUALA TERENGGANU 16 Ogos - Pelabuhan Kemaman yang terletak di Teluk Kalong, Terengganu berpotensi muncul sebagai hab maritim serantau berikutan kerancakan semula industri perdagangan dan perkapalan global pasca pandemik COVID-19.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sektor perkapalan memberi sumbangan yang besar dalam penjanaan ekonomi negeri Terengganu melalui aktiviti import dan eksport kargo serta kapal-kapal 'supply' untuk perkhidmatan ke pelantar-pelantar minyak di Laut China Selatan.
"Ia selari dengan pertumbuhan perusahaan dan perkilangan di Terengganu yang menggunakan jalan laut untuk mengimpot barang mentah dan mengeksport barangan pembuatan ke luar negara dan domestik dalam kuantiti yang besar.
"Perkembangan aktiviti cari gali minyak juga menyumbang kenaikan penggunaan kapal-kapal 'supply' di pelabuhan tersebut.
"Oleh itu, Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman yang kini sedang giat dilaksanakan juga akan berupaya menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara menggunakan kemudahan perkhidmatan yang disediakan di pelabuhan itu sekaligus merancakkan lagi pembangunan ekonomi Pantai Timur dan Terengganu khususnya," katanya kepada DagangNews.com.
Terengganu Inc adalah syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri yang menerajui semua aktiviti perniagaan dan komersial yang menyumbang kepada peningkatan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Tambahnya, Pelabuhan Kemaman juga bakal berubah wajah pada tahun 2025 dengan projek pembesaran secara berperingkat sebagai persediaan menampung peningkatan pemain industri import dan eksport kargo pada masa akan datang.
"Kita menjangka permintaan industri untuk menggunakan perkhidmatan di pelabuhan ini semakin rancak apabila projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) siap dalam beberapa tahun ini," katanya.
Ketika ini, kapasiti pengendalian kargo di Pelabuhan Kemaman adalah sebanyak tujuh juta tan metrik setahun.
Sebanyak 34 syarikat perkapalan dari seluruh dunia kini menggunakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di Pelabuhan Kemaman.
Kuantiti kapal kargo yang berlabuh di Pelabuhan Kemaman ialah sebanyak 560 manakala kapal non-kargo yang berlabuh pula ialah sebanyak 2,892 buah.
Pada Januari tahun ini, projek pembangunan Pelabuhan Kemaman telah dilancarkan Kementerian Pengangkutan dengan sasaran meningkatkan lagi keupayaan di pelabuhan itu untuk pengendalian kargo kepada 33 juta tan metrik setahun pada tahun 2025.
Pelan pembangunan kondusif itu adalah projek jangka masa panjang yang penting disegerakan kerana permintaan mendadak industri perkapalan dan perdagangan yang akan menjadikan Terengganu sebagai pintu masuk utama laluan maritim di Pantai Timur.
Projek itu yang menelan belanja hampir RM1 bilion adalah termasuk pemasangan empat kren dan perluasan dermaga (jeti) sepanjang 650 meter. - DagangNews.com