Skip to main content

Pelan pemulihan menampakkan kejayaan tetapi jangan alpa COVID-19 masih wujud

Oleh NORLELA ABAS

 

 

DARI semasa ke semasa kita menyaksikan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di setiap negeri. Terkini tiada lagi negeri yang berada di Fasa 1.

 

Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Johor dan Sabah sudah beralih ke Fasa 2.

 

Perlis, Pahang, Terengganu, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak berada di Fasa 3 dan dua negeri telah berjaya ke Fasa 4 iaitu Negeri Sembilan dan Labuan.

 

Ini menunjukkan perkembangan positif PPN yang dirangka bagi mengeluarkan negara dari cengkaman pandemik virus COVID-19 secara berperingkat dan selamat.

 

Pelan ini telah diumumkan oleh pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin pada 15 Jun 2021 yang merangkumi perancangan semasa dalam mengawal pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama membuka semula aktiviti sosial dan ekonomi ke arah norma baharu.

 

Peralihan fasa ini adalah berdasarkan tiga indikator utama iaitu purata kes harian COVID-19, penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi dan peratusan populasi  dewasa yang telah lengkap divaksinasi. Ketiga-tiga indikator ini juga akan mempengaruhi pertimbangan kelonggaran SOP.

 

Sejak peralihan fasa ini berlaku, banyak berita yang tular di media sosial mengenai kesesakan pelawat di beberapa tempat rekreasi dan pelancongan seperti pantai peranginan, air terjun, dan sebagainya.

 

 

MKN
PIHAK berkuasa menjalankan aktiviti pemantauan dan hebahan pematuhan SOP di taman-taman. - Gambar MKN

 

 

Keadaan ini amat merisaukan kerana ramai orang berada di kawasan yang sesak dengan tiadanya penjarakan sosial di antara satu sama lain dan tidak memakai pelitup muka.

 

Ini amat mengecewakan kerana ianya jelas menunjukkan sikap ghairah sesetengah individu yang alpa menikmati kelonggaran yang diberikan dengan mengabaikan SOP yang selama ini dipatuhi hampir dua tahun.

 

Perlakuan seperti ini boleh mengundang bahaya dan risiko jangkitan yang tinggi kepada orang di sekeliling terutama sekali golongan kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah yang belum layak menerima vaksin.

 

Sekiranya kejadian seperti ini tidak dikawal, tidak mustahil angka jangkitan boleh melonjak semula ke paras yang tinggi dan segala kelonggaran akan ditarik balik.

 

Harus diingat bahawa peralihan fasa ini berlaku bukanlah disebabkan kita sudah bebas dari wabak COVID-19, tetapi ia adalah langkah sistematik negara untuk keluar dari kemelut  ekonomi yang agak membimbangkan.

 

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara, telah mengumumkan beberapa kelonggaran dan kemudahan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

 

Antaranya ialah kebenaran aktiviti rentas daerah, ”dine-in”, sukan dan rekreasi dan aktiviti pelancongan termasuk perkelahan dan perkhemahan dalam negeri yang sama.

 

 

surat

 

 

Pemantauan yang berterusan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai diharap dapat membantu dalam memastikan pematuhan SOP kekal di tahap yang terbaik.

 

Di samping itu juga, semua rakyat perlu terus berjuang untuk membebaskan negara dari wabak COVID-19 ini dengan kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan memanfaatkan setiap kelonggaran yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan disiplin yang tinggi.

 

Jaga diri, jaga SOP. Kita masih belum menang. – DagangNews.com

 

 

Norlela Abas adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka