Pelan Pemulihan Negara perlu disusuli pakej bantuan bersasar | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara perlu disusuli pakej bantuan bersasar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Terdapat keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan pemberian pakej bantuan yang lebih bersasar terutamanya buat sektor yang tidak dianggap sebagai perkhidmatan perlu seiring pengumuman Pelan Pemulihan Negara semalam.

 

Pelaksanaan Pemerkasa Plus yang diumumkan lewat Mei lalu dijangka mampu bertahan sehingga sekurang-kurangnya Julai, sementara kesemua sektor ekonomi mungkin hanya dapat dibuka pada akhir Oktober berdasarkan unjuran pelan berkenaan, menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

 

Kata beliau, disebabkan itu perlunya ada perincian yang lebih meluas terhadap apakah langkah seterusnya jika ambang-ambang indikator yang diterangkan semalam tidak tercapai.

 

“Memang ada keperluan untuk memberi bantuan tambahan selepas Pemerkasa Plus, terutamanya jika fasa yang disebutkan seperti fasa pertama dan kedua atau ketiga kekal daripada unjuran sepatutnya. 

 

Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff

 

“Sebenarnya, jenis bantuan tidak semestinya berbentuk tunai, kadang-kadang sektor pelancongan (sebagai contohnya) boleh lagi bertahan kalau diberikan moratorium, tetapi bukan dari bank, sebaliknya moratorium cukai taksiran, bil utiliti kerana mereka tidak boleh beroperasi, tetapi perlu membayar sewa. 

 

“Semua ini tidak melibatkan (peruntukan) kerajaan dan mungkin pemilik bangunan yang memberikan moratorium itu diberikan insentif pelepasan cukai. Kerajaan hanya perlu mengarahkan setiap agensi untuk memberikan moratorium,” ujar beliau kepada DagangNews.com.

 

Beliau diminta mengulas mengenai adakah terdapat keperluan untuk kerajaan mengkaji pemberian bantuan yang lebih bersasar susulan semua sektor ekonomi dijangka hanya dibuka pada akhir Oktober depan.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka berakhir pada penghujung Oktober depan. 

 

Baca : PM umum Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa PKP

 

Setiap peralihan fasa-fasa berkenaan akan bergantung kepada tiga indikator ambang utama yang ditetapkan termasuk bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam dan tahap vaksinasi dalam kalangan penduduk. 

 

pelan pemulihan negara
JANGKA masa Pelan Pemulihan Negara menerusi empat fasa PKP.

 

Senada beliau, Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid tidak menafikan kerajaan terpaksa melakukan suntikan fiskal tambahan demi kelangsungan kehidupan golongan yang terjejas walaupun dalam suasana genting dan mencabar.

 

"Sudah tentu akan ada sektor-sektor ekonomi yang menerima tamparan, dan mungkin terpaksa gulung tikar, namun ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan demi mencapai objektif yang lebih besar, iaitu kesihatan dan penjagaan nyawa rakyat.

 

Baharom Abdul Hamid
Baharom Abdul Hamid

 

"Jika perlu membuat pinjaman tambahan, kena dilakukan. Pihak swasta juga harus menggembleng bersama, pihak perbankan, pihak yang menerima durian runtuh daripada keuntungan luar biasa akibat pandemik seperti pengeluar sarung tangan getah, membantu di dalam segala ruang dan peluang yang termampu," jelas beliau yang melihat strategi di bawah pelan tersebut adalah demi kelestarian dan mengelakkan gelombang penularan baharu yang lebih 'rakus'.

 

Baharom yang juga Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA) turut mengingatkan bahawa Pelan Pemulihan Negara lebih berdasarkan kualiti kesihatan atau impak penularan, dan bukannya garis masa.

 

Bagi Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, beliau percaya pengumuman tersebut akan memberi sedikit panduan serta bagaimana para peniaga, pelabur dan juga orang awam harus meletakkan pengharapan yang realistik berdasarkan situasi semasa. 

 

“Secara umumnya, Perdana Menteri cuba menerangkan proses-proses yang bakal berlaku sejajar dengan unjuran bahawa kes jangkitan bakal menurun.

 

Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

“Justeru, dengan maklumat ini, dapatlah kita membuat perancangan tentang bagaimana kita harus bertindak. Umumnya fasa keempat adalah fasa yang membolehkan pergerakan rentas negeri dibenarkan dan banyak sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. 

 

“Dengan kata lain, proses pemulihan ekonomi akan lebih rancak pada suku ke empat tahun ini (4Q21). Oleh itu, kita harus bersama-sama memastikan indikator ambang ini akan dapat dicapai supaya ekonomi negara dapat dibuka sepenuhnya,” jelas beliau yang turut menekankan bantuan kerajaan kepada rakyat dan para peniaga merupakan satu usaha berterusan. - DagangNews.com