Pelancaran 5G menerusi SPV 'mengejutkan' - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Pelancaran 5G menerusi SPV 'mengejutkan' - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Rakyat Malaysia dijangka menikmati kemudahan 5G secara berperingkat mulai hujung tahun ini selepas inisiatif MyDigital dilancarkan Jumaat lalu. 

 

Pelancaran 5G ini dibuat menerusi sebuah entiti khusus (SPV) di bawah kerajaaan yang akan diberikan spektrum bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB melihat pelancaran rangkaian 5G tunggal menerusi SPV ini adalah sesuatu yang 'mengejutkan'. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada November lalu dalam taklimatnya telah menyatakan model berkenaan mungkin akan mengakibatkan kurang daya tahan dan kurang menarik minat pengguna. 

 

Malah, katanya, pelancaran perkhidmatan 5G itu juga adalah lebih awal berbanding sasaran di bawah Program Jalinan Digital Negara (Jendela) sebelum ini menjelang akhir 2022 atau 2023. 

 

"Bagi pandangan kami, model SPV ini dapat menyelesaikan isu melibatkan konsortium NetCo sebelum ini, yang mempunyai terlalu banyak pemegang saham dan memudahkan pelancaran 5G dengan cepat. 

 

"Selain itu, ia juga menyaksikan akses rangkaian 5G sama rata dalam kalangan syarikat telekomunikasi (meskipun Big 3 iatu Maxis, Digi dan Celcom akan mempunyai kualiti rangkaian yang lebih baik pada tahun-tahun awal memandangkan pengguna akan beralih kepada 4G bagi kawasan bukan liputan 5G)," jelasnya dalam nota kajian.   

 

Tetapi, menurutnya, dalam tempoh jangka masa panjang, pemain kecil mempunyai keupayaan untuk merapatkan jurang dengan Big 3, yang mungkin memberi tekanan ke atas harga runcit. 

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat, ini akan diimbangi oleh faedah perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex) operator yang lebih rendah melalui model infrastruktur bersama ini," tambahnya.  

 

Mengulas lebih lanjut, CGS-CIMB berkata, setakat ini tiada sebarang perincian bagaimana SPV akan diuruskan atau beroperasi dan mungkin ia akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menyelaraskan rangkaian 5G bagi mencapai sasaran.

 

Namun, firma itu percaya SPV ini tidak akan membina keseluruhan rangkaian baharu dan akan memanfaatkan infrastruktur telekomunikasi sedia ada (seperti tapak, menara dan gentian). 

 

Dengan menggunakan teknologi agregat pembawa (3.5GHz bagi downlink dan jalur lebih rendah seperti 700MHZ, untuk uplink), ia sepatutnya mencapai liputan 5G di seluruh negara terutama di tapak sedia ada. 

 

"Kadar di mana SPV akan menyewa infrastruktur daripada syarikat telekomunikasi juga masih tidak diketahui dan apabila perjanjian dicapai mungkin akan memperlahankan pelancaran. 

 

"Pada pandangan kami, tidak mustahil operator mudah alih akan menyewakan infrastruktur mereka pada kadar yang tinggi, jadi kadar akses kepada pemain kecil mungkin tidak terlalu rendah, justeru meletakkan harga siling runcit dengan lebih lebih efektif," katanya. 

 

Selain itu, jelasnya lagi, kadar sewa infrastruktur, kecekapan kos operasi SPV juga akan menentukan kadar akses borong dan paling penting memberi faedah penjimatan kos kepada syarikat telekomunikasi menerusi model perkongsian rangkaian ini. 

 

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan inisiatif MyDigital di bawah Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia yang terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Menerusi inisiatif itu, kerajaan akan melabur sebanyak RM15 bilion bagi tempoh 10 tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara dan mewujudkan 105,000 peluang pekerjaan.

 

Di bawah pelaksanaan 5G, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan. 

 

Perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna. 

 

CGS-CIMB juga melihat Telekom Malaysia Bhd. (TM) boleh meraih manfaat daripada penyewaan rangkaian transmisi gentian kepada SPV bagi pelancaran 5G. 

 

"Secara keseluruhan, kami percaya inisiatif MyDigital ini sebahagian besarnya memberi impak neutral kepada pengendali mudah alih manakala TM harus menjadi penerima manfaat. - DagangNews.com