KUALA LUMPUR 19 Mei - Kadar pengambilan bagi pelancaran baharu projek Lagenda Properties Bhd. dijangka kekal menggalakkan di sebalik sedikit kenaikan harga jualan.
Dalam nota kajian hari ini, AmInvestment Bank Research berkata, ia disebabkan strategi harganya yang kompetitif dengan purata harga rumah daripada RM150,000 hingga RM200,000.
"Untuk menangani kenaikan harga bahan mentah, kumpulan akan meneruskan kenaikan kos dengan menaikkan sedikit harga jualannya antara 1% hingga 3% untuk projek baharunya.
"Namun begitu, kesannya ke atas margin dijangka minimum," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma itu, syarikat pemaju berkenaan dijangka melancarkan beberapa projek hartanah baharu di Sitiawan dan Tapah, Perak serta Sungai Petani, Kedah menjelang Mei/Jun ini.
Kumpulan menjangkakan jualan hartanahnya pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 adalah mendatar dengan jualan sebanyak RM250 juta kerana tiada sebarang pelancaran projek baharu.
Prestasi pada suku pertama itu mungkin didorong terutamanya menerusi projek Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan dan Lagenda Teluk Intan, Teluk Intan.
"Tetapi, kumpulan yakin dapat mencapai sasaran pelancaran dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM699 juta pada separuh pertama 2022.
"Ini kerana kumpulan menyaksikan momentum jualan yang lebih kukuh pada Mac/April 2022 berbanding Januari/Februari 2022," tambahnya.
AmInvestment juga mendapati, jualan belum dibayar setanding dengan paras pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) hampir RM600 juta, yang kebanyakannya akan diiktiraf tahun ini dan mewakili nisbah perlindungan sebanyak 0.6 kali daripada hasil FY22.
Menurutnya, nisbah perlindungan tersebut adalah agak rendah didorong oleh pemulihan pantas projeknya (antara 2 hingga 2 tahun setengah).
"Namun, kami percaya perancangannya untuk melancarkan projek baharu tahun ini dengan anggaran GDV RM1 bilion akan menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil dan keuntungan bersih teras bagi FY22," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'beli' terhadap Lagenda Properties dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.90 sesaham.
Setakat 12.10 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.74% kepada RM1.37 dengan 188,700 saham diniagakan. - DagangNews.com