Pelancaran Sandbox IoT di Sabah bantu wujudkan peluang pekerjaan kemahiran tinggi | DagangNews Skip to main content

Pelancaran Sandbox IoT di Sabah bantu wujudkan peluang pekerjaan kemahiran tinggi

KUALA LUMPUR 1 Mac - Pelancaran Program Rintis Sandbox Digital IoT (Sandbox IoT) di Sabah dijangka menggalakkan pembabitan belia dalam memacu ekonomi negeri selain meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta selain membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, percambahan aplikasi IoT didalam industri negeri itu diajngka menyumbang RM9.8 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2025 selain sandbox IoT akan bertindak sebagai pusat bersepadu yang dilengkapi dengan perkhidmatan sokongan seperti ujian dan pembangunan produk.

 

“Sandbox IoT ini akan mengubah gaya hidup penduduk di sini melalui pembangunan teknologi dan ia akan menjadi pemangkin kepada ekosistem IoT selain menyumbang secara terus kepada pertumbuhan ekonomi inovasi Sabah.

 

"Usaha pendigitalan ini akan memberi manfaat kepada sektor seperti perkhidmatan, pertanian, perlombongan dan pelancongan," katanya pada majlis pelancaran program berkenaan, di Kota Kinabalu hari ini.

 

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

 

Turut berlangsung ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dengan Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

 

iot
Datuk Zainal Abidin Abu Hassan

 

Adham berkata, antara impak awal yang disasarkan Sandbox IoT ini adalah pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program pembangunan kapasiti yang melibatkan masyarakat setempat.

 

Beliau berkata, penggunaan aplikasi IoT adalah selaras dengan inisiatif kerajaan pusat untuk menerima pakai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam pelbagai sektor utama di seluruh negara. 

 

iot
Datuk Yakub Khan

 

“Melalui IoT, syarikat-syarikat boleh mengautomasikan proses operasi dan ini secara langsung akan mengurangkan kos tenaga kerja selain meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, meningkatkan daya saing dengan menurunkan kos pembuatan selain meningkatkan ketelusan dengan pelanggan," katanya.

 

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, pelancaran program itu merupakan sebahagian daripada pengisian menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dalam menggalakan pembudayaan sains, teknologi dan invoasi dalam kalangan masyarakat.

 

"Digital IoT Sandbox akan menjadi platform kepada usahawan digital menghasilkan dan menguji produk yang dihasilkan sebelum digunakan," katanya. - DagangNews.com