Skip to main content

Pelancong Malaysia dan Asia Tenggara kini kembali - Google

Di Malaysia, terdapat peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan berikutan pengumuman pembukaan semula sempadan untuk perjalanan antarabangsa bermula dari 1 April 2022.
Oleh Marc Woo

SEBELUM COVID-19, negara-negara Asia Tenggara merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di dunia. Pandemik yang melanda telah mengubah segalanya dalam hanya beberapa bulan - dan meninggalkan impak negatif terhadap industri pelancongan rantau ini yang bernilai AS$380 bilion.

 

Namun, pada awal tahun 2022, suasana mula kembali pulih. Negara-negara Asia Tenggara telah melonggarkan sekatan perjalanan, dan para pelancong dari rantau ini ingin menebus masa yang telah hilang. Mereka komited untuk mengembara dengan lebih kerap, mereka terbuka kepada destinasi baharu dan mereka berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang kini ada.

 

Untuk memahami sejauh manakah permintaan terpendam yang dirasai oleh golongan pelancong ini — dan peluang yang ia wujudkan untuk para pengendali pelancongan rantau ini — kami melihat dengan lebih dekat beberapa trend Google Search terkini untuk memahami permintaan para pelancong.

 

Permintaan kembali meningkat

Di Asia Tenggara, permintaan perjalanan masuk - lawatan pelancong asing ke negara ini - di Filipina dan Indonesia mengalami peningkatan terpantas. Permintaan masuk ke Filipina telah melepasi angka pra-pandemik (104%) dan Indonesia semakin hampir kepada lantunan penuh (94%).

 

Kedua-dua buah negara ini juga telah menyaksikan peningkatan dalam perjalanan keluar - lawatan pelancong tempatan ke negara lain - yang terpantas dengan kadar carian telah melantun semula kepada 70%. Singapura ketinggalan di tempat ketiga untuk permintaan perjalanan masuk dan keluar.

 

Dengan pembukaan sempadan di Asia Tenggara dan permintaan perjalanan yang semakin meningkat, trend Google Search memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang pilihan perjalanan rakyat Malaysia dan rupa industri pelancongan yang kini rancak semula.

 

Di Malaysia, kami melihat pemulihan permintaan perjalanan antarabangsa meningkat dengan stabil kepada 90% daripada tahap pra-pandemik, dan juga ledakan permintaan perjalanan domestik apabila rakyat Malaysia menemui semula destinasi-destinasi tempatan.

 

Oleh sebab itu, kami menyesuaikan alatan Google untuk membantu para pelancong mencari pengalaman perjalanan yang ditunggu-tunggu mereka.

 

Alat cerapan perjalanan percuma kami membolehkan perniagaan, kerajaan dan lembaga pelancongan membuat keputusan berdasarkan maklumat terkini tentang pilihan para pelancong.

 

 

google
Sumber: Google Internal Data, Air & Accommodation carian berkaitan dari Mac 2022 berbanding 2019 

 

Di Malaysia, terdapat peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan berikutan pengumuman pembukaan semula sempadan untuk perjalanan antarabangsa bermula dari 1 April 2022.

 

Antara 27 Mac dan 4 April, permintaan perjalanan antarabangsa telah meningkat kepada 90% daripada tahap pra-pandemik - ini menyerlahkan permintaan terpendam untuk percutian luar negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Beberapa destinasi pelancongan teratas mengikut permintaan adalah bandar-bandar besar, dan terdapat juga minat yang semakin meningkat terhadap negara-negara Eropah.

 

Permintaan perjalanan domestik pula telah meletup dengan rakyat Malaysia memanfaatkan sepenuhnya kekayaan negara dalam tarikan budaya dan semula jadi. Niat untuk perjalanan dalam negara pada suku pertama 2022 mengatasi tahap 2019 sebanyak 30%.

 

Rakyat Malaysia juga semakin mencari penginapan ‘staycation’ (3x berbanding tahap 2019) dan perkhidmatan bas transit (51% pertumbuhan tahun ke tahun), serta menerokai taman tema, bandar warisan dan destinasi-destinasi lain seperti George Town, Langkawi dan Cameron Highlands.

 

Para pelancong mahukan kemewahan dan pentingkan kemampanan

Walaupun lonjakan permintaan adalah dialu-alukan, ia penting untuk pemain industri memahami dan memenuhi keperluan dan keutamaan para pelancong yang berubah-ubah. Trend carian menjelaskan bahawa persekitaran perjalanan hari ini lebih kompleks berbanding sebelum pandemik.

 

Orang ramai menghabiskan lebih banyak masa untuk menyelidik, merancang dan mencari pilihan, mencari ketenangan fikiran dan memastikan mereka dilindungi dari perubahan yang tidak dijangka. Kami melihat pertumbuhan tahun ke tahun lebih daripada 400% dalam carian berkaitan insurans perjalanan di Malaysia.

 

Para pelancong Malaysia khususnya mempamerkan keutamaan untuk percutian santai tanpa kerumitan, kerana carian untuk "all inclusive resorts" meningkat 120% dari tahun ke tahun.

Para pelancong Malaysia juga sedang mencari pilihan penginapan persendirian yang eksklusif sambil mereka merancang perjalanan ke luar negara: minat dalam sewa percutian (vacation rentals) meningkat 11 kali ganda dari tahun ke tahun.

 

Terdapat kesedaran tentang kemampanan yang semakin meningkat di seluruh rantau ini – terutamanya di Singapura dan Filipina. Carian yang berkaitan dengan kemampanan telah meningkat sebanyak 45% sejak 2019, manakala carian yang berkaitan dengan pelepasan gas rumah hijau telah meningkat lebih daripada 163% di Singapura dan lebih daripada 156% di Filipina.

 

google

 

Cara kami menyesuaikan alatan Google untuk membantu para pelancong

Kami komited untuk membantu para pelancong mencari pengalaman perjalanan yang lama ditunggu-tunggu, sambil menavigasi persekitaran yang kompleks. Di Google Travel, bahagian Penerbangan, Hotel dan Perkara yang Boleh Dilakukan kini menyediakan lebih banyak maklumat tentang COVID — dan memberi pilihan kepada para pelancong untuk mencari pilihan tempahan yang fleksibel. Tapak web Perjalanan Bantuan Google memudahkan orang ramai menavigasi dasar perjalanan, sekatan dan keperluan khas.

 

Untuk para pelancong yang mencari pengalaman baharu, kami telah menambah lebih banyak destinasi pada tab Teroka — termasuk bandar-bandar yang lebih kecil dan taman-taman negara — dan pilihan untuk menapis mengikut minat seperti di luar rumah, pantai atau bermain ski.

 

Kami juga membantu para pelancong membuat pilihan yang lebih mampan apabila mereka menyelidik dan menempah, termasuk memberi para pengusaha hotel keupayaan untuk menunjukkan lencana ‘eko’ di sebelah nama mereka dan berkongsi butiran tentang amalan khusus kemampanan mereka, di samping menyediakan anggaran pelepasan karbon untuk penerbangan.

 

Cerapan dan alatan untuk merancakkan industri

Selain mengembangkan peralatan kami untuk para pelancong, banyak yang kami lakukan untuk membantu rakan kongsi industri kami memanfaatkan perancangan untuk masa hadapan. Menggunakan Travel Insights dengan Google, perniagaan, kerajaan dan lembaga pelancongan boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat terkini dan bergerak dengan pantas apabila munculnya peluang tertentu.

 

Untuk membantu perniagaan yang lebih kecil dalam industri pelancongan menjangkau bakal pelanggan secara besar-besaran, kami telah membolehkan semua hotel dan syarikat pelancongan menunjukkan pautan tempahan langsung mereka dalam profil mereka secara percuma — dan melihat bilangan orang yang mengklik pada pautan tersebut menerusi laporan yang dijana melalui Hotel Center.

 

Dunia pelancongan sedang berubah, tetapi pengalaman yang ditawarkan lebih menarik dari sebelumnya. Gelombang pelancong baharu kini menuju ke dalam talian, bersedia untuk menempah dan berazam untuk 'membalas dendam' untuk percutian yang mereka terlepas.

 

Dan dengan semakin pulihnya permintaan — di Asia Tenggara dan seluruh dunia — kami akan terus melakukan segala yang termampu untuk memastikan para pelancong mempunyai maklumat yang mereka perlukan untuk menjadikan pemulihan industri ini kukuh dan mampan. - DagangNews.com

 

Marc Woo merupakan Pengarah Urusan Google Malaysia