Pelancongan domestik 2019 meningkat 8.1% | DagangNews Skip to main content

Pelancongan domestik 2019 meningkat 8.1%

Pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Prestasi pelancongan domestik di Malaysia pada 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 8.1% dengan jumlah pelawat yang direkodkan seramai 239.1 juta.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut adalah peningkatan yang lebih tinggi berbanding 2018.

"Dari aspek perbelanjaan, sejumlah RM103.2 bilion telah dibelanjakan oleh pelawat domestik dengan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 11.5%.

"Berdasarkan prestasi mengikut negeri, Selangor mencatatkan jumlah terimaan yang tertinggi iaitu berjumlah RM15.5 bilion. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM12.1 bilion), Sarawak (RM8.7 bilion), Sabah (RM8.1 bilion) dan Perak (RM7.8 bilion).

"Kelima-lima negeri ini telah menyumbang sebanyak 50.6 peratus daripada jumlah terimaan pelancongan domestik Malaysia," jelasnya dalam satu laporan Servei Pelancongan Domestik 2019 mengikut negeri yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Perangkaan utama yang dilaporkan adalah berkaitan indikator utama prestasi pelancongan domestik seperti bilangan ketibaan pelawat domestik, jumlah perjalanan dan jumlah terimaan.

Statistik berkaitan trend perjalanan bermalam serta profil sosial dan demografi pelawat domestik bagi setiap negeri turut dimuatkan dalam penerbitan laporan tersebut.

Tambah beliau lagi, dalam aspek ketibaan pelawat domestik, Selangor turut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 33.6 juta pelawat. 

Jumlah tersebut diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22.0 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).

"Dari segi trend perjalanan bermalam, melawat saudara-mara dan rakan merupakan tujuan perjalanan tertinggi bagi semua negeri.

"Melaka merekodkan peratus sumbangan tertinggi bagi perjalanan untuk tujuan percutian iaitu mewakili 42.8% jumlah perjalanan, diikuti oleh Pulau Pinang (28.2%), Pahang (26.6%) dan Sabah (21.5%)," jelasnya lagi.

Mengulas berkaitan profil sosial dan demografi domestik, kesemua negeri mencatatkan ketibaan pelawat domestik paling tinggi bagi kategori umur 25 hingga 39 tahun.

Kumpulan etnik Bumiputera pula mendominasi bilangan ketibaan di kebanyakan negeri kecuali Pulau Pinang yang didominasi oleh pelawat daripada kumpulan etnik Cina.

Menyentuh aspek kelas pendapatan isi rumah pelawat domestik pula, beliau memberitahu, sebanyak 11 negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peratusan sumbangan tertinggi bagi pelawat domestik yang mempunyai pendapatan isi rumah RM1,001 hingga RM3,000 sebulan.

"Sementara Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula merekodkan peratusan pelawat domestik yang paling tinggi daripada isi rumah yang berpendapatan RM5,001 hingga RM10,000 sebulan.

"Manakala Melaka adalah negeri paling ramai dikunjungi pelawat domestik dalam kalangan isi rumah yang berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan," ujarnya. - DagangNews.com