Skip to main content

Pelanggan berdaftar myTNB naik 103%

Oleh YEO LI SHIAN
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. -  Semakin ramai pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini beralih kepada transformasi digital dengan memilih perkhidmatan portal dan aplikasi myTNB untuk memudahkan urusan transaksi mereka.

Menurut TNB, lebih 4.6 juta akaun pelanggan berdaftar sehingga 13 Oktober lalu.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, jumlah akaun pendaftaran pengguna myTNB meningkat sebanyak 102.9%,” kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.

Selain urusan transaksi, portal dan aplikasi myTNB yang boleh dimuat turun menerusi Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery turut memudahkan pelanggan menyemak bil elektrik, mengenalpasti jumlah dan sejarah penggunaan elektrik bulanan.

TNB menambah, lebih 600,000 pengguna Meter Pintar di Lembah Klang dan Melaka juga digalakkan memantau penggunaan elektrik harian menerusi portal atau aplikasi myTNB sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Kemudahan membuat pembayaran melalui portal dan aplikasi myTNB amat berguna ketika ini khususnya bagi pengguna di Semenanjung sepanjang tempoh PKPB ini,” kata Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

 

TNB
Megat Jalaluddin Megat Hassan

 

Jelasnya lanjut, pelanggan tidak perlu beratur panjang di kaunter atau kios untuk membuat pembayaran terutamanya di waktu penularan semula wabak COVID-19 ini.

Aplikasi myTNB yang kini ditambahbaik memudahkan pelanggan berurusan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Selain itu, pelanggan berpeluang memenangi telefon mudah alih Huawei P40 Pro dengan membuat pembayaran penuh menerusi aplikasi myTNB sepanjang Kempen Bayar & Menang Huawei P40 Pro yang bermula 12 Oktober sehingga 9 Disember depan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari portal www.mytnb.com.my dan aplikasi myTNB.- DagangNews.com