Pemandu bas ekspres ‘gigit jari’ one-off RM500 | DagangNews Skip to main content

Pemandu bas ekspres ‘gigit jari’ one-off RM500

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Teliti semula bait-bait pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung bantuan one-off sebanyak RM500 kepada pemandu teksi dan bas di bawah pakej bantuan baharu, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai):

 

“Bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 ribu pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.”

 

Jika diamati satu persatu, golongan pemandu bas ekspres tidak tersenarai sebagai penerima bantuan berkenaan. 

 

Sebenarnya, DagangNews.com pada 22 Januari lalu telah mendapat maklum balas daripada pihak pengusaha bas ekspres merangkap Yang Di Pertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspress Melayu Sememanjung Malaysia (PEMBAWA), Mohamad Kaharuddin Salleh berhubung isu berkenaan. 

 

“Kami masih lagi samar sama ada turut tergolong dalam bantuan tersebut atau tidak," itu luahannya sebelum ini.

 

Mohamad Kaharrudin
Mohamad Kaharuddin

 

Secara tidak langsung bertindak sebagai ‘suara’ pemandu bas ekspres, beliau ketika itu sebaliknya berhasrat untuk tunggu dan lihat dengan tanggapan mungkin golongan pemandu bas yang diumumkan Muhyiddin turut merangkumi kategori bas ekspres. 

 

Namun, Mohamad Kaharuddin apabila dihubungi DagangNews.com sebentar tadi memberitahu hasil semakan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pemandu bas ekspres tidak tersenarai dalam kategori penerima bantuan berkenaan. 

 

Malah, PEMBAWA turut menyuarakan harapan pemandu bas ekspres menerusi sepucuk surat yang dilayangkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan golongan berkenaan sebagai penerima bantuan tersebut.

 

“Apabila disemak dengan APAD, mereka kata bas ekspres tidak termasuk dalam kategori (penerima bantuan one-off RM500). 

 

“Kami belum pasti kenapa dan masih menunggu maklum balas daripada pihak JPM. Kami mengharapkan ada bantuan one-off tersebut kepada pemandu bas ekspres,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Jelasnya, surat berkenaan telah dihantar sekitar penghujung Januari 2021, selepas pengumuman Permai dibuat. 

 

Baca : Pengusaha bas ekspres harap diberi perhatian

 

Pembayaran pertama bantuan one-off RM500 itu telah dibuat bermula 22 Februari 2021 (Isnin) di mana seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa menerima bantuan tersebut yang telah dikreditkan ke dalam akaun masing-masing. 

 

Baca : Bayaran one-off Permai RM500 kepada pemandu teksi, kereta sewa dibayar mulai hari ini

 

Sementara baki seramai 15,000 lagi akan menerima bantuan tersebut secara berperingkat selewat-lewatnya pada 15 Mac 2021.

 

Dalam pada itu, baki 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran akan mula menerima bantuan tersebut secara berperingkat mulai 26 Februari 2021, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - DagangNews.com