Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Iktisad - 2 November 2021

Pematuhan industri kewangan Islam, tidak hanya terhad kepada riba

 

 

PENGAWALSELIAAN dan tadbir urus merupakan satu perkara yang menjadi rukun dalam mentadbir kehidupan dan ekonomi. Ia perlu dipatuhi agar sistem kehidupan mampu diurus dengan baik lagi harmoni.

 

 

Al-Quran adalah pegawalseliaan yang diturunkan Allah melalui Nabi Muhammad S.A.W untuk manusia dapat beramal agar serta mentadbir dunia ini dengan baik. 

 

Dari segi tadbir urus pula, Sunnah Nabi Muhammad S.A.W adalah sebenarnya manual atau panduan yang telah dibukukan sebagai hadis untuk kita sama-sama mengikuti dan mengamalkannya agar kita tahu selok-belok perkara yang perlu dilaksana untuk mematuhi arahan Al-Quran.

 

Kepatuhan pula adalah tindakan manusia untuk mengikut tadbir urus yang ditetapkan agar dapat menepati kehendak pengawalseliaan yang telah ditetapkan oleh Allah.

 

Kini, pematuhan dan pengawalseliaan adalah tema dunia moden. Ia berkait rapat dengan integriti dan maruah. 

 

Kalau dahulu ia tidak popular, namun sekarang dalam perkembangan dunia moden ini, ia menjadi buah mulut setiap badan-badan pemerintah seperti Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan, contohnya. 

 

Malah, ia selari dengan munculnya keprihatinan negara kepada isu alam sekitar dan AMLA (Anti Money Laundering Act). 

 

Mulai 2017, melalui United Nations Sustainable Development Goals (SDG), kita dapat dilihat dunia mula memperjuangkan banyak tema baharu seperti tiada kelaparan, air yang bersih, kelestarian alam sekitar, pendidikan untuk semua dan banyak lagi. 

 

Walaupun tema pematuhan, kawal selia dan integriti tidak termasuk dalam senarai 17 SDG ini, namun, kesedaran telah mula dibina dan setiap pemain dalam industri mula bercakap dan bertindak untuk mengadakannya dalam usaha membenteras sifat-sifat tidak amanah dan rasuah yang akan meranapkan manusia, masyarakat dan negara.

 

Tadbir urus berbentuk polisi, manual dan panduan telah dibina untuk dipatuhi. Malah, pengawalseliaan juga diperketatkan, termasuk dalam sistem kewangan negara. 

 

Pematuhan dan kawal selia dalam industri kewangan Islam, contohnya, bukan hanya terhad kepada riba, gharar dan maysir (perjudian) sahaja. 

 

Ia kini distrategikan untuk diamal dan diadun bersama nilai kebatilan dalam semua peringkat termasuk tindak tanduk dalaman pengurusan, penzahiran, muamalat, layanan kepada pekerja, skim perkhidmatan dan seumpamanya. 

 

Sehubungan itu, ia harus dipertingkatkan kepada pematuhan menurut piawaian terbaik dunia dalam pematuhan hukum. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

Portfolio Tags