Pembaca meter TNB bertugas sepanjang PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

Pembaca meter TNB bertugas sepanjang PKP 3.0

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pembaca meter akan tetap bertugas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

 

"Pembacaan meter akan berjalan seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, bagi memastikan pengguna menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran.

 

"Bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021, waktu operasi Kedai Tenaga adalah dari jam 9 pagi hingga 4 petang setiap hari, kecuali hujung minggu dan cuti am. Waktu kiosk layan diri di Kedai Tenaga pula adalah dari jam 8:15 pagi hingga 8 malam setiap hari di negeri-negeri di bawah PKP," kata TNB dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kedai Tenaga yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi negeri-negeri di bawah PKP, waktu operasi adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari (kecuali cuti am).

 

Menurut TNB, semua ini dilaksanakan dalam usaha berterusan syarikat utiliti itu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada 9.4 juta pelanggannya sepanjang tempoh PKP di mana operasi TNB dijalankan seperti biasa sepanjang tempoh PKP.

 

TNB

Waktu operasi perkhidmatan TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. Untuk makluman, talian TNB Careline 1-300- 88-5454 dan emel tnbcareline@tnb.com.my adalah untuk pertanyaan berkaitan akaun dan bil. Untuk gangguan bekalan elektrik pula, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine.

 

Bagi sebarang urusan transaksi termasuk semakan dan pembayaran bil, pengguna dinasihatkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal (www.mytnb.com.my) dan aplikasi myTNB agar dapat mengurangkan keperluan untuk transaksi secara bersemuka. - DagangNews.com