Pembatalan kontrak Dubai: WCT terima RM828 juta bayaran akhir daripada Meydan Group | DagangNews Skip to main content

Pembatalan kontrak Dubai: WCT terima RM828 juta bayaran akhir daripada Meydan Group

WCT Holdings Berhad

KUALA LUMPUR 14 Julai - Syarikat pembinaan dan kejuruteraan, WCT Holdings Berhad bersetuju dengan bayaran akhir sebanyak RM828.24 juta oleh Meydan Group LLC.

 

Pembayaran akhir itu dibuat berhubung pembatalan kontrak Nad Al Sheba Dubai.

 

WCT dalam makluman di Bursa Malaysia memberitahu, jumlah berkenaan adalah 65% daripada RM1.31 bilion jumlah pokok yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tribunal pada sebelumnya.

 

Jumlah bayaran akhir itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding permodalan pasaran semasa RM730.35 juta dengan harga saham bernilai 51.5 sen, seperti dilapor The Star.

 

Dengan kejayaan pelangsaian itu, WCT akan menerima RM318.55 juta pada atau sebelum 20 Julai nanti.

 

Baki sebanyak RM509.59 juta akan dilangsaikan dalam bentuk ansuran 12 kali (RM42.47 juta) mulai 20 Oktober.

 

Lembaga Pengarah WCT berpendapat, bayaran berkenaan diharap dapat memberi sumbangan positif terhadap pendapatan per saham dan aset bersih kumpulannya.

 

Selain itu, nisbah kewangan bersih kumpulan juga dijangka meningkat hasil pelangsaian berkenaan.

 

Bagi rekod, pada 13 Januari lalu sebuah jawatankuasa kehakiman telah mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Dubai yang membuat keputusan akhir dan memihak kepada WCT dalam pertelingkahan dengan Meydan Group LLC.

 

Pada 2007, WCT bersama syarikat usaha sama (JV) Arabtec Construction LLC, telah memenangi kontrak bernilai AS$1.3 bilion untuk pembinaan projek di Dubai.

 

Bagaimanapun, menjelang 2009, WCT mengumumkan bahawa JV bersama Arabtec telah diberi notis pembatalan oleh Meydan yang berkaitan dengan pembinaan projek perlumbaan utama.

 

Susulan itu, WCT dan Arabtec bertindak menentang keputusan Meydan untuk menamatkan kontraknya.

 

Menjelang 2015, Mahkamah Antarabangsa Dubai memutuskan bahawa pembatalan yang dibuat oleh Meydan adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah. - DagangNews.com