Pembekuan pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier sehingga September 2022 | DagangNews Skip to main content

Pembekuan pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier sehingga September 2022

 

 

CYBERJAYA, 26 Okt. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memutuskan pembekuan (moratorium) pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier berkuatkuasa selama dua tahun bermula 14 September lalu sehingga 15 September 2022.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat persetujuan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia berdasarkan kuasa pelesenan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 yang boleh disemak semula mengikut keperluan semasa.

Sepanjang penguatkuasaan moratorium tersebut, SKMM tidak akan menerima sebarang permohonan lesen baharu bagi semua kategori perkhidmatan kurier.

“Permohonan yang diterima sebelum tarikh kuat kuasa moratorium dan permohonan pembaharuan lesen sedia ada akan diproses untuk kelulusan. Setakat Oktober 2020, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori yang beroperasi di Oktober,” jelas SKMM.

Pelaksanaan moratorium ini dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara kerajaan dan industry pos serta kurier untuk merangka strategi baharu bagi memperkukuhkan sektor tersebut yang kini berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran.

Tambah SKMM, usaha ini seiring dengan gesaan Persatuan Syarikat Penghantar Ekspress Malaysia (AMEC) yang terdiri daripada gabungan 25 syarikat kurier utama di Malaysia seperti Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn. Bhd. dan City-Link Express (M) Sdn. Bhd. sejak Ogos lalu.

“Proses merangka pelan tindakan baharu akan dilaksanakan menerusi penganjuran Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang bakal berlangsung selama tiga minggu bermula 2 sehingga 22 November 2020 bergantung kepada situasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” tambah SKMM.

Kajian membabitkan industri pos dan kurier yang terakhir dilaksanakan pada tahun 2009 dan kajian terkini ini diharapkan dapat menggariskan cadangan pelan tindakan baharu bagi menyokong aspirasi pembangunan strategik industri pos dan kurier Malaysia.

Menurut SKMM, laporan untuk cadangan baharu itu akan dimuat naik dalam laman sesawang MCMC untuk rujukan semua.

Terangnya lagi, hasil NPCIL penting bagi industri yang menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital Malaysia dan kini berdepan pelbagai cabaran baharu seperti ledakan teknologi yang mengakibatkan percantuman sektor logistik, platform e-dagang, e- hailing dan sistem transaksi kewangan. – DagangNews.com