Pembelian hartanah di Petaling Jaya hanya beri sumbangan minimum kepada pendapatan boleh agih Sunway REIT | DagangNews Skip to main content

Pembelian hartanah di Petaling Jaya hanya beri sumbangan minimum kepada pendapatan boleh agih Sunway REIT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan pembelian hartanah di Sungei Way, Petaling Jaya hanya memberi impak minimum kepada pendapatan boleh agih Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT). 

 

Ini kerana menurutnya, hartanah perindustrian itu hanya menyumbang 0.7% daripada jumlah nilai hartanah Sunway REIT. 

 

Oleh itu, firma tersebut menaikkan anggaran pendapatan boleh agih Sunway REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23)/FY24 sebanyak 0.8%, dengan anggaran hasil sewaan pada 8.3% dan kos hutang hutang 4%. 

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway REIT dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.76 sesaham.

 

"Ini berdasarkan penilaian model diskaun dividen dengan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 7.7% dan kadar pertumbuhan terminal, 2.5%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, RHB Trustees Bhd. yang juga pemegang amanah Sunway REIT memeterai perjanjian jual beli membabitkan 2 bidang tanah berserta bangunan sedia ada di Sungei Way pada harga RM60.05 juta.

 

Pengurus Sunway REIT iaitu Sunway REIT Management Sdn Bhd berkata, cadangan pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya oleh program hutang sedia ada.

 

Nisbah tahap kadar hutangnya dijangka meningkat daripada 37.2% setakat 31 Disember 2021 kepada 37.6% apabila selesai.

 

Hartanah itu terletak di kawasan perindustrian pegangan bebas berkeluasan 1.47 hektar serta mengandungi bangunan 2 tingkat dan 5 tingkat.

 

Menurut AmInvestment, cadangan pembelian itu dijangka selesai pada separuh kedua 2022 dan apabila selesai, nilai hartanah Sunway REIT akan meningkat 1.1% kepada RM9 bilion.

 

"Ini juga akan meningkatkan peruntukan bagi hartanah perindustrian daripada keseluruhan nilai hartanah daripada 1.1% kepada 1.8%," tambahnya.

 

Setakat 12.03 tengah hari, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.49 dengan 660,200 saham diniagakan. - DagangNews.com