Pembentukan Modal Tetap Kasar 2020 susut 14.5%, terbesar sejak krisis kewangan Asia 1998 | DagangNews Skip to main content

Pembentukan Modal Tetap Kasar 2020 susut 14.5%, terbesar sejak krisis kewangan Asia 1998

Malaysia. Kredit gambar Reuters

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) merekodkan nilai RM281.1 bilion (harga malar) setelah menguncup 14.5% bagi tahun 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penguncupan tersebut adalah kesan daripada pandemik COVID-19 yang telah mempengaruhi pelaburan aset tetap bagi semua aktiviti ekonomi.

 

"Kejatuhan pada 2020 merupakan penyusutan terbesar sejak krisis kewangan Asia pada 1998 yang mana PMTK menyusut 43.0%.

 

"Pengurangan yang berterusan dalam pelaburan aset tetap akan mendorong kepada kapasiti pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan dan seterusnya mengganggu pertumbuhan potensi output.

 

"Senario kemerosotan PMTK ini turut dialami oleh ekonomi utama dunia dan negara serantau termasuk Singapore, Thailand dan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan.

 

PMTK - Nilai dan Perubahan Peratusan Tahunan pada Harga Semasa dan Harga Malar 2015
PMTK - Nilai dan Perubahan Peratusan Tahunan pada Harga Semasa dan Harga Malar 2015.

 

PMTK merupakan komponen kedua terbesar dalam KDNK dengan sumbangan 20.9% daripada keseluruhan ekonomi.

 

Mengikut jenis aktiviti ekonomi, PMTK bagi sektor perkhidmatan menyusut kepada 12.5% berbanding 1.6% pada tahun sebelumnya.

 

Penyusutan dalam sektor berkenaan dipengaruhi oleh pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi yang merosot 24.9% dan -10.9% bagi kewanganm insurans, hartanah & perkhidmatan perniagaan.

 

 Peratus Sumbangan KDNK mengikut Kaedah Perbelanjaan pada Harga Malar 2015
 Peratus Sumbangan KDNK mengikut Kaedah Perbelanjaan pada Harga Malar 2015.

 

Tambah beliau lagi, PMTK bagi sektor pembuatan menurun 17.1% berbanding kejatuhan 10.0% pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi lemah bagi sektor ini disebabkan oleh produk petroleum, kimia, getah & plastik yang jatuh 24.4%.

 

Produk elektrik, elektronik & optikal dan peralatan pengangkutan turut memperlahankan prestasi keseluruhan sektor pembuatan yang menyusut 17.2%.

 

Tambahan pula, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk tekstil dan kayu masing-masing menguncup 15.1% dan 7.8%.

 

"Pada 2020, PMTK bagi sektor perlombongan & pengkuarian menyusut 25.4% daripada penurunan 9.3% pada tahun sebelumnya.

 

"Sektor pembinaan turut jatuh 2.2%, lebih rendah berbanding kejatuhan 1.3% pada tahun sebelumnya.

 

"Pada tahun 2020, sektor pertanian menguncup 8.8% berbanding 0.1% pada 2019 disebabkan oleh prestasi yang lemah bagi kesemua subsektor," ujar beliau lagi.

 

Merumuskan situasi keseluruhan PMTK 2020, beliau berkata, implikasi pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi dan kemerosotan ekonomi adalah yang terendah selepas 1998.

 

"Langkah kerajaan yang mengenakan beberapa siri perintah kawalan pergerakan secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan pada perbelanjaan aset tetap.

 

"Namun, adalah dijangkakan trend pemulihan pada PMTK akan mula berlaku pada 2021," katanya. - DagangNews.com