Pembinaan projek Jambatan Sungai Pulai kini 34% | DagangNews Skip to main content

Pembinaan projek Jambatan Sungai Pulai kini 34%

pontian


Oleh ADAM ALIF


ISKANDAR PUTERI - Projek Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah di sini dan Tanjung Bin di Pontian yang dijadualkan siap pada Oktober 2021, boleh mengurangkan masa perjalanan kepada 15 minit daripada laluan asal yang mengambil masa selama satu jam.

Projek Jambatan Sungai Pulai yang membabitkan kos kira-kira RM700 juta, bakal dilengkapi dengan laluan dua hala serta dua lorong sepanjang 7.5 kilometer yang akan memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Tanjung Bin, kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 34 peratus. 

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pembinaan projek tersebut menjadi bukti kerancakan pembangunan infrastruktur di negeri ini sekali gus mampu terus menarik pelabur selain akan memacu perkembangan sosio-ekonomi dan pembangunan di kawasan sekitar yang terlibat serta penduduk setempat.

“Menerusi taklimat yang diterima, projek ini dijangka dapat disiapkan mengikut jadual biarpun terhenti seketika akibat wabak COVID-19 yang merencatkan kemajuan projek ini,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan kerja dan meninjau projek Jambatan Sungai Pulai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
 

JB
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (empat dari kanan) mendengar taklimat berhubung pembinaan Jambatan Sungai Pulai oleh Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd., Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (dua dari kiri) semasa melawat tapak projek itu di Iskandar Puteri, Johor hari ini. - DagangNews


Seaport Worldwide merupakan penyokong utama pembinaan Jambatan Sungai Pulai yang dibangunkan menerusi projek kerjasama awam-swasta dan pemaju pembangunan industri Tanjung Bin dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan rakan usaha sama CHEC Construction (M) Sdn Bhd adalah kontraktor utama bagi projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai.  

"Walaupun kita sedang berhadapan dengan situasi COVID-19, aktiviti pembinaan jambatan ini tetap berjalan seperti yang dijadualkan. 

"Ia tidak mungkin berjalan dengan lancar tanpa sokongan dari kerajaan dan pihak-pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Hutan dan Jabatan Laut," katanya. - DagangNews