Pembuatan sarung tangan Mah Sing bermula bulan depan | DagangNews Skip to main content

Pembuatan sarung tangan Mah Sing bermula bulan depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2021 – Syarikat pemaju hartanah, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dijangka memulakan operasi pembuatan sarung tangan kumpulan pada Mei 2021.

 

Ini selepas Mah Sing berjaya melengkapkan pengujian dan memulakan dua barisan pengeluaran pertama di kilang sarung tangannya yang terletak di Kapar, Klang.

 

Kumpulan itu menjangkakan penghantaran pertama sarung tangan keluaran Mah Sing pada Mei dan Jun 2021.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berbangga dengan perkembangan pantas kilangnya bagi perniagaan sarung tangan kumpulan.

 

“Kami memulakan perniagaan plastik selama 42 tahun lalu dan hari ini, kami merupakan salah satu pengilang produk plastik berteknologi tinggi dan terbesar selain salah satu pengeluar palet plastik terbesar di Malaysia.

 

“Kami juga merupakan pemaju hartanah yang terkenal bagi model perniagaan pemulihan pantas untuk memenuhi permintaan pasaran hartanah semasa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mah Sing

 

Pembuatan sarung tangan merupakan sebahagian daripada rancangan Mah Sing untuk memperkukuh dan mengembangkan bahagian pembuatannya dengan memasuki sektor tersebut.

 

Ini akan melengkapkan bahagian hartanah ]sedia ada Mah Sing memandangkan pasaran hartanah bersifat kitaran dan lebih menumpukan kepada pasaran domestik.

 

“Setelah memulakan perniagaan dalam bidang sarung tangan, kami berhasrat untuk mengembangkan lagi di bawah Fasa 2 sekiranya permintaan sarung tangan berterusan melebihi bekalan Fasa 1.

 

“Melangkah ke hadapan, kumpulan menyasarkan untuk menjadi salah satu daripada lima pengeluar sarung tangan terbesar di Malaysia.

 

“Kumpulan juga meneroka untuk menyenaraikan bahagian pembuatan dan penjagaan kesihatannya secara berasingan untuk membuka nilai lebih baik buat pemegang saham Mah Sing,” tambah Hoy Kum.

 

Menurut Mah Sing, perniagaan sarung tangannya berada di landasan tepat apabila empat barisan pengeluaran akan beroperasi pada suku kedua 2021 (2Q21) dan diikuti oleh enam lagi barisan pengeluaran pada 3Q21.

 

Fasa 1 pembuatan sarung tangan Mah Sing dijangka menghasilkan 38,000 unit setiap jam bagi setiap barisan, dan membawa kepada kapasiti maksimum hingga 3.68 bilion sarung tangan setahun.

 

Setakat 2.36 petang, nilai saham Mah Sing menokok RM0.045 kepada RM0.935. – DagangNews.com