Pembukaan PPVIN Stesen KL Sentral jayakan vaksinasi sektor pengangkutan darat rel | DagangNews Skip to main content

Pembukaan PPVIN Stesen KL Sentral jayakan vaksinasi sektor pengangkutan darat rel

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Program vaksinasi barisan hadapan ekonomi bagi sektor pengangkutan diteruskan dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) terbaharu di Stesen KL Sentral, hari ini.

 

Bermula hari ini, seramai 1,841 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan kakitangan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menerima suntikan vaksin di PPVIN berkenaan.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, jumlah tersebut terdiri daripada 1,451 kakitangan KTMB termasuk anak syarikatnya iaitu Multimodal Freight Sdn Bhd dan KTM Distribution serta 390 kakitangan ERL termasuk ERL Maintanance Support Sdn Bhd.

 

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

 

"Mereka merupakan kakitangan barisan hadapan daripada pelbagai bidang kerja yang belum menerima suntikan vaksin dos pertama.

 

"Kakitangan KTMB yang akan menerima vaksin di PPVIN KL Sentral merupakan kakitangan dari Tanjung Malim hingga ke Gemas. Kakitangan KTMB yang berada di luar PPVIN ini akan dibawa dengan tran khas untuk ke KL Sentral.

 

"KTMB dan ERL turut menyediakan sejumlah 40 kakitangan untuk bertugas sebagai sukarelawan di PPVIN bagi membantu kerja-kerja kawalan pergerakan penerima vaksin, logistik dan pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, KTMB turut merancang untuk mewujudkan beberapa lokasi PPVIN strategik yang akan dimaklumkan kelak khusus untuk kakitangan mereka di Wilayah Utara, Selatan dan Pantai Timur.

 

.

 

Menurut beliau juga, pembukaan PPVIN itu merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memperluas program pemberian vaksin kepada sektor pengangkutan yang juga merupakan salah satu perkhidmatan perlu.

 

Setakat 25 Julai 2021, terdapat empat PPVIN bagi sektor pengangkutan yang telah beroperasi sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

"MoT juga sedang dalam usaha mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan PPVIN Sektor Pengangkutan baharu secara bersasar di negeri Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor serta permohonan tambahan di Pelabuhan Klang yang menjurus kepada pelaut, pekerja pelabuhan dan pekerja sektor logistik di kawasan sekitar.

 

"Inisiatif ini memanfaatkan lebih daripada 54,000 pekerja sektor pengangkutan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com