Pembukaan sektor ekonomi domestik pacu perkembangan operasi Allianz Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pembukaan sektor ekonomi domestik pacu perkembangan operasi Allianz Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) melihat operasi Allianz Malaysia akan menjadi lebih baik pada suku keempat 2021 (4Q21) selepas dipacu oleh pembukaan semula sektor ekonomi domestik.

 

Bagi tahun kewangan 2022 (FY22), firma penyelidikan itu melihat akan berlaku peningkatan sebnayak 5% dari segi preium bertulis kasar (GWP) untuk Allianz General berbanding jangkaan 2 hingga 3% pada FY21 dibantu oleh sumbangan penjualan produk menerusi Pos Malaysia (6.5% GWP pada 9M21) selain pemulihan dalam permintaan sektor automotif selain perkembangan premium perniagaan baharu (ANP) sebanyak 12% untuk Allianz Life.

 

"Kami menganggarkan tuntutan mangsa banjir adalah pada sekitar RM40 ke RM50 juta namun tidak akan menjejaskan pendapatan pada 4Q21 kerana pada kebiasaannya, Allianz akan menyediakan dana kecemasan pada setiap tahun. 

 

"Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia MFRS) 17 yang akan bermula pada tahun 2023 juga dilihat memberi impak positif kepada pendapatan bersih Allianz Malaysia," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengakui terkejut apabila Allianz berjaya memberikan dividen sesaham (DPS) sebanyak 63 sen untuk FY21 kerana ia adalah lebih tinggi berbanding anggaran mereka pada sekitar 58 sen sesaham.

 

"Pemberian dividen itu membuktikan bahawa mereka berjaya memberikan dividen yang sangat baik pada kadar 4.8% sesaham.

 

"Kami melihat DPS yang diberikan ketika ini boleh dikekalkan dan kami menaikkan sasaran DPS kami kepada 63 sen pada tahun kewangan akan datang," katanya.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran RM16.75 sesaham dengan jangkaan MFRS 17 akan memberi impak positif kepada pendapatan kumpulan selepas ia dilaksanakan pada 2023 selain jangkaan dividen akan diberikan pada kadar 4.8%.

 

"Walaupun terdapat banyak tuntutan banjir pada 4Q21, namun keadaan itu masih terkawal dan kami menjangkakan operasi syarikat menjadi semakin baik daripada suku tahun ke suku tahun (QoQ) selepas pembukaan sektor ekonomi selain penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya. - DagangNews.com