Pemegang AP terbuka tidak dibenarkan import Lamborghini baharu berkuat kuasa 17 Ogos 2022 - MITI | DagangNews Skip to main content

Pemegang AP terbuka tidak dibenarkan import Lamborghini baharu berkuat kuasa 17 Ogos 2022 - MITI

Lamborghini Huracán Tecnica - Gambar SunAgata Supercars Sdn Bhd

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melaksanakan sekatan import bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) jenama Lamborghini berkuat kuasa 17 Ogos 2022.

 

Dalam surat kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), MITI memaklumkan bermula dari tarikh berkenaan, syarikat yang memiliki permit import (AP) Terbuka tidak lagi dibenarkan mengimport kenderaan CBU kategori baharu Lamborghini.

 

Surat bertarikh 18 Ogos kepada Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman turut menyebut, hak eksklusif bagi mengimport kenderaan CBU baharu Lamborghini dipegang oleh syarikat AP Francais yang telah dilantik oleh MITI.

 

BH difahamkan sekatan berkenaan sebenarnya telah lama dilaksanakan kerajaan, cuma tiada kawalan ketat dan pemeriksaan terperinci dibuat ke atas pemegang AP terbuka yang mengimport kenderaan Lamborghini baharu.

 

Turut difahamkan, sekatan berkenaan hanya tertakluk kepada kenderaan baharu sahaja dan pemegang AP Terbuka boleh mengimport kenderaan terbabit selepas 12 bulan daripada tempoh pengeluaran dari kilang di Itali. (Careta)

 

SunAgata Supercars Sdn Bhd adalah satu-satunya pemegang AP Francais bagi mengimport jenama berkenaan daripada prinsipal, Automobili Lamborghini S.p.A untuk pasaran Malaysia.

 

Pelantikan rasmi syarikat persendirian diperbadankan pada Julai 2020 itu dibuat Automobili Lamborghini bermula pada Januari 2021. 

 

 

lambor

 

 

Sebelum ini, JH Italia adalah pengedar kenderaan Lamborghini di Malaysia.

 

Pada Mac lalu, SunAgata Supercars yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roland Chan secara rasmi membuka bilik pameran dan pusat servis, Lamborghini Kuala Lumpur bagi menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk jenama Itali itu di Malaysia, Berita Harian melaporkan.

 

 

lambor

 

 

SunAgata Supercars yang juga pengedar tunggal sah Lamborghini dan pembekal perkhidmatan selepas jualan beroperasi di Glenmarie, Shah Alam. - DagangNews.com