Skip to main content

Pemegang Pas Tanpa Had AirAsia boleh tebus penerbangan percuma ke destinasi domestik

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR  24 Sept. -Pemegang Pas Tanpa Had AirAsia (Cuti-Cuti Malaysia) kini boleh menebus satu penerbangan pergi-balik secara percuma ke Langkawi atau mana-mana destinasi domestik yang tidak dapat dilakukan berikutan sekatan perjalanan yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu.  

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, inisiatif ini juga merupakan sebuah penghargaan dari AirAsia kepada para pelanggan yang terus setia  menyokong pada masa yang mencabar ini.

“Kami menerima sambutan yang menggalakkan ketika kami melancarkan Pas Tanpa Had AirAsia (cuti cuti Malaysia) pada tahun lepas. Ramai tetamu telah memanfaatkan pas tersebut dengan melakukan perjalanan dan menikmati cuti-cuti Malaysia di seluruh rangkaian domestik kami merangkumi 16 destinasi. Akan tetapi, ada yang tidak dapat menggunakan pas mereka sepenuhnya berikutan sekatan perjalanan.   

"Ini juga merupakan satu lagi inisiatif kami untuk memacu pelancongan domestik Malaysia serta menyokong usaha kerajaan, terutamanya berkenaan gelembung perjalanan Langkawi dan destinasi-destinasi lain yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dilancarkan pada bulan Jun 2020, Pas Tanpa Had AirAsia membolehkan semua ahli BIG Rewards yang menetap di Malaysia membeli pas tersebut untuk menebus penerbangan tanpa had di seluruh Malaysia bermula dari tarikh pembelian hingga 30 Jun 2021

Dalam pada itu Amanda berkata, AirAsia telah melaksanakan beberapa langkah inovasi teknologi tanpa sentuhan dan penambahbaikan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang mudah dan lancar kepada para tetamu.

Jelasnya, kini para tetamu boleh menggunakan perkhidmatan daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, perlepasan tanpa sentuhan menggunakan FACES, dan prosedur operasi standard yang mantap bagi mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa. 

“Penerbangan juga hanya dikendalikan oleh kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya dan ciri-ciri keselamatan di dalam pesawat menjadikan penerbangan sebagai kaedah pengangkutan yang paling selamat.

"Kejayaan gelembung perjalanan Langkawi juga adalah hasil daripada penglibatan dan kerjasama berterusan kami dan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, pihak berkuasa kesihatan dan pihak penerbangan awam yang lain," katanya.

Pemegang pas akan dimaklumkan melalui alamat emel berdaftar mengenai faedah tambahan ini atau mereka boleh klik pada ikon ‘Unlimited’ di airasia Super App atau layari airasia.com/unlimited untuk maklumat lanjut.  -DagangNews.com