Pemegang saham Bonia undi 11 Ogos depan berhubung penyenaraian SBG | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Bonia undi 11 Ogos depan berhubung penyenaraian SBG

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Peruncit barangan fesyen mewah global, Bonia Corporation Berhad (Bonia) bakal mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 11 Ogos 2021 bagi mendapat persetujuan daripada pemegang saham yang layak berhubung cadangan penyenaraian anak syarikatnya, SBG Holdings Sdn. Bhd. di Pasaran LEAP Bursa Malaysia. 

 

Dalam masa sama, EGM itu juga bakal menentukan keputusan cadangan Bonia untuk berpisah daripada SBG serta anak-anak syarikat di bawah naungannya, menurut makluman Bonia di Bursa Malaysia. 

 

“Tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan bergantung kepada penerimaan kepada semua persetujuan yang berkaitan, ahli Lembaga Pengarah menjangkakan Cadangan Penyenaraian akan selesai menjelang suku ketiga tahun 2022 (3Q22),” jelas Bonia. 

 

Pada 25 Februari lalu, Bonia menerusi maklumannya di Bursa Malaysia mencadangkan untuk berpisah daripada SBG dan anak-anak syarikatnya, yang seterusnya mencetuskan penjualan keseluruhan ekuiti di dalam SB Directions Sdn. Bhd. (SBD) kepada SBG pada nilai RM1.

 

Baca : Bonia jual 100% ekuiti dalam SBD hanya pada kadar RM1

 

Ini seterusnya akan membawa kepada cadangan permodalan dividen oleh SBG kepada Bonia dan cadangan sub pembahagian semua saham biasa yang diterbitkan di dalam SBG selepas langkah permodalan tersebut, ke dalam 200,995,123 saham biasa di SBG.

 

Selain itu, turut melibatkan cadangan pertukaran SBG sebagai syarikat awam berhad dan pengedaran seluruh pemegangan saham Bonia di dalam SBG secara dividen in-specie bagi pengedaran secara saksama kepada pemegang saham Bonia yang ada di dalam rekod pendeposit syarikat.

 

Menerusi langkah-langkah berkenaan, Bonia berhasrat untuk mewujudkan dua entiti yang berbeza dan bebas, dengan syarikat akan kekal disenaraikan di Papan Utama Bursa Securities, sementara SBG pula dicadangkan disenaraikan di Pasaran LEAP.

 

Di bawah cadangan permodalan, SBL Marketing Sdn. Bhd. (SBL) dan SBFW Marketing Sdn. Bhd. (SBFW) yang merupakan anak syarikat penuh SBG akan mengisytiharkan dividen masing-masing berjumlah RM11,997,300 dan RM2,703,000 kepada SBG.

 

Ini akan dilunaskan menerusi penerbitan 609,000 saham biasa baharu di dalam SBL dan 198,750 saham biasa baharu di dalam SBFW kepada SBG.

 

Selepas selesai, SBG pula akan mencadangkan untuk mengisytiharkan dividen berjumlah RM30,127,100 kepada Bonia yang akan diselesaikan sepenuhnya menerusi saham 30,127,100 SBG baharu kepada syarikat tersebut.

 

Ini kemudiannya akan meningkatkan saham yang diterbitkan oleh SBG kepada 55,127,100 daripada 25,000,000.

 

Bagi memudahkan langkah cadangan dividen in-specie, jumlah saham tersebut pula akan dibahagikan kepada sejumlah saham SBG sehingga syarikat itu mempunyai jumlah saham yang diterbitkan sama dengan Bonia pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian, tidak termasuk saham perbendaharaan.

 

Mengikut tarikh tentatif yang disediakan Bonia, kesemua langkah itu dijangka diselesaikan menjelang September 2021.

 

Syarikat menjangkakan cadangan pertukaran status SBG sebagai syarikat tersenarai awam akan dilengkapkan pada Oktober 2021 dengan Penyerahan Memorandum Maklumat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan penyerahan permohonan penyenaraian awal kepada Bursa Securities diseleaikan pada Disember 2021.

 

Kelulusan secara prinsip bagi cadangan penyenaraian dari Bursa Securities pula dijangka diterima pada sebulan selepas itu dengan cadangan dividen in-specie serta pemisahan syarikat diunjurkan selesai pada Februari 2022. 

 

SBG seterusnya dijangka disenaraikan pada Mac 2022, menurut Bonia lanjut. - DagangNews.com