SHAH ALAM 31 Jan – Pemegang saham meluluskan kesemua resolusi yang diusulkan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Serba Dinamik Holdings Bhd. petang ini, termasuklah resolusi khas untuk meminda perlembagaan syarikat.
AGM kali ke-5 itu diadakan secara maya dengan penstriman langsung membabitkan lebih daripada 500 pemegang saham.
Ketika mesyuarat tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ts Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, kumpulan juga optimis untuk kembali semula kepada landasan dalam tempoh 2 tahun akan datang, dengan beberapa operasi menunjukkan peningkatan positif tahun ke tahun.
"Ini terutamanya bagi segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendidikan," jelas beliau.
Beliau turut menjawab soalan yang dibangkitkan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) mengenai rosot nilai yang tinggi dalam penerimaan nilai dagangan.
"Dalam hal ini, kumpulan terpaksa bertahan akibat daripada penerimaan nilai dagangan yang terjejas berikutan kekangan masa dan juga sekatan pergerakan di beberapa negara di mana kumpulan beroperasi," jelas beliau.
Pada 7 Januari lalu, penyata kewangan syarikat yang sudah diaudit menunjukkan Serba Dinamik mencatat kerugian bersih sebanyak RM185.37 juta bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.
Sebelum ini, dalam penyata kewangan belum diaudit, Serba Dinamik melaporkan keuntungan bersih RM758.38 juta bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 6 Januari lalu, Lembaga Pengarah Serba Dinamik memberitahu bahawa terdapat lencongan atau perbezaan lebih 10% antara penyata kewangan diaudit dan penyata kewangan belum diaudit bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.
Perbezaan lebih 10% itu adalah berikutan kemerosotan nilai dagangan belum terima yang dibuat oleh anak-anak syarikatnya sebanyak RM395 juta, yang mana ia tidak disediakan dalam penyataan kewangan belum diaudit sebelum itu.
Malah, perbezaan yang dicatatkan itu juga adalah berikutan susut nilai inventori sebanyak RM552.6 juta berikutan gangguan dan pembatalan beberapa projek dilaksanakan kumpulan.
Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, di sebalik persekitaran yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, kumpulan masih merekodkan prestasi yang munasabah bagi tahun kewangan berakhir Jun 2021.
Beliau turut berkongsi perkembangan terkini mengenai keputusan kumpulan untuk mengemukakan pelan regularisasi, merangkumi pilihan yang mungkin dapat membantu mencapai penyelesaian yang baik bagi penstrukturan semula hutang dan untuk terus berdaya saing dalam persekitaran perniagaan semasa.
Saham syarikat yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) ini bagaimanapun masih lagi digantung dengan dagangan terakhir pada 35 sen sejak 22 Oktober 2021 pada nilai pasaran RM1.3 bilion. - DagangNews.com